Monday, February 28, 2011

PULAKKKK.....YANG MANA SATU BETOIII NI????

PPSMI tak luntur semangat patriotik, kata Mahathir

February 28, 2011

PETALING JAYA, 28 Feb – Seseorang yang menguasai bahasa Inggeris tidak akan luntur semangat patriotiknya kerana kini bahasa itu merupakan bahasa ilmu, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita perlu menghadapi hakikat ini jika kita ingin memahami Sains dan Matematik untuk memperbaiki kehidupan kita, dan untuk membina negara ini menjadi sebuah negara maju, kita perlu berupaya memahami bahasa asing.

“Jika hari ini, kita buat keputusan untuk mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, ia tidak bererti kita kurang patriotik,” kata Dr Mahathir ketika menyampaikan ucap tama pada Forum Bioteknologi 2011 bertajuk, “Kebijaksnaaan Masa Lampau Untuk Menuju Masa Depan” di Subang Jaya dekat sini hari ini.

Beliau berkata Sains dan Matematik adalah mata pelajaran yang sentiasa berkembang hasil daripada pelbagai penyelidikan dan penciptaan manakala semua kertas kajiannya pula diahasilkan dalam bahasa Inggeris.

“Tanpa kebolehan menterjemah semua ini ke dalam ilmu baru, orang Melayu akan ketinggalan dalam sesetengah bidang penting,” katanya.

Beliau berkata mereka yang memahami mata pelajaran itu serta mampu membuat terjemahan, tidak akan berminat untuk menjadi penterjemah sepanjang hidup mereka, sedangkan Sains akan terus mengalami kemajuan selepas mereka meninggal dunia dan karya baru perlu diterjemahkan.

“Menguasai bahasa Inggeris sangat penting dan mereka yang tidak memahami bahasa Inggeris tidak akan dapat mengikuti penemuan baru dalam bidang Sains,” katanya.

Dr Mahathir berkata bahasa sesuatu bangsa akan hanya dipelajari orang asing sekiranya bangsa itu maju dan terkenal kerana ilmu pengetahuan dan hasil penyelidikannya.

Sebagai contoh, kata beliau, pada kurun ke-15, bangsa Eropah terpaksa mempelajari bahasa Arab kerana pada waktu itu, tamadun Islam begitu hebat dan amat dihormati.

Tahun lepas, kerajaan mengumumkan mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan dalam bahasa ibunda pelajar (Mandarin atau Tamil) di sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah Tamil mulai 2011 berikutan pemansuhan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris.

Kerajaan juga mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah. – Bernama