Tuesday, December 27, 2011

SKIM BODEK PIHAK ATASAN-NAMA BARU YANG DIBERI PENGUNJUNG LAMAN INI

Tarikh Terima Opsyen SBPA Dilanjutkan Ke 15 Jan, Opsyen Persaraan 60 Tahun Kekal 30 Dis

PUTRAJAYA, 23 Dis (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Jumaat bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam sehingga 15 Jan depan.

Tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun bagaimanapun kekal pada 30 Dis ini, demikian diumumkan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Dr Ismail Alias di sini.

Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Dis lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dr Ismail berkata pada keseluruhannya, rundingan tersebut mendapat kata sepakat untuk melaksanakan SBPA dan lima isu termasuk 'Exit Policy' yang dibangkitkan oleh Cuepacs turut dibincangkan.

"Jadi dalam konteks ini, pendekatan kita ialah melihat kepada beberapa isu yang telah dikemukakan oleh Cuepacs, berbincang dan akhirnya mendapat persetujuan tertentu," katanya.

Beliau berkata bagi penjawat awam yang telah pun menandatangani surat tawaran opsyen SBPA, mereka tidak perlu bimbang kerana JPA telah memaklumkan bahawa opsyen SBPA masih berjalan seperti yang ditetapkan cuma tempohnya akan dilanjutkan.

Sementara itu, Omar pada sidang media sama berkata rundingan hari ini mencapai kata sepakat yang amat baik dan persetujuan bersama hari ini merupakan jaminan kepada penjawat awam untuk menandatanganinya.

Omar berkata lima perkara yang telah dibangkitkan oleh Cuepacs ternyata selesai apabila mendapat hak rundingan awal, disusuli dengan rundingan tiga bulan sekali khusus berhubung SBPA dan rundingan akan diadakan sehingga perkara berbangkit dapat diselesaikan bersama.

Katanya opsyen bagi umur persaraan 60 tahun tiada masalah dan penjawat awam boleh menandatangani tawaran opsyen tersebut atas kapasiti masing-masing, hanya tawaran opsyen SBPA yang diberikan dalam tempoh 15 hari itu yang didapati singkat.

Beliau berkata rundingan hari ini turut bersetuju untuk melakukan penambahbaikan gred iaitu bagi gred 17 dalam kumpulan pentadbiran dan keselamatan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Jabatan Imigresen.

"Kita dah bersetuju dalam tempoh tiga bulan ini akan dibuat semakan semula, akan melakukan kajian menyeluruh. Jadi, kita harap bersabar," katanya.

Mengenai 'Exit Policy', Omar berkata rundingan hari ini mencapai persetujuan supaya wakil Cuepacs hadir dalam panel di JPA sebagai pemerhati sebelum seseorang penjawat awam itu dikenakan tindakan.

Katanya langkah itu bagi mengelak sebarang ketidakadilan atau kejadian dianiaya dan sebelum sebarang tindakan diambil atau dibersarakan awal, wakil Cuepacs akan hadir untuk memberi pandangan.

"Jadi, kita dah berunding, jabatan tidak boleh membersarakan kakitangan di bawah exit policy. Ia (jabatan) hanya akan melaporkan kepada JPA mengenai masalahnya, dan di JPA nanti, Cuepacs akan hadir sebagai pemerhati, dan dari situ kita akan selesaikan.

"Apabila kita dalam (panel) itu, kita rasa adil sebelum menentukan seseorang penjawat awam itu untuk dibersarakan awal," katanya.

Omar berkata satu taklimat akan diadakan pada minggu hadapan antara Cuepacs dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Katanya taklimat itu berhubung kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus yang didapati tidak begitu jelas mengenai golongan penjawat awam yang akan menikmati kenaikan tersebut dan sama ada ia dikira berdasarkan gaji pokok atau gaji hakiki.

- BERNAMA

Thursday, December 15, 2011

WARGA PENDIDIK DIMINTA KAJI TERLEBIH DAHULU

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan BN diyakini bukanlah satu sistem yang baik, sebaliknya akan menganiaya kakitangan sektor awam.

Keyakinan itu disandarkan kepada beberapa faktor, terutama berkaitan sistem pemarkahan prestasi kakitangan awam yang pasti terdedah dengan pelbagai bentuk manipulasi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, menerusi sistem baru itu, pemarkahan prestasi kakitangan awam akan dinilai oleh kakitangan atasan, tetapi penilaian tersebut diyakini tidak akan berlaku dengan adil.

Menurutnya, meskipun penilaian prestasi itu sesuatu yang baik bagi menggalakkan perkembangan prestasi di kalangan kakitangan awam, tetapi penilaian tersebut diyakini bukan sekadar berdasarkan prestasi, sebaliknya atas faktor-faktor lain.

Katanya, situasi itu akan menjadikan mereka yang benar-benar berprestasi dan berintegriti tidak akan dinilai sebagai berprestasi, sebaliknya mereka yang bijak 'membodek boss' pula yang akan diutamakan.

"Saya yakin itulah yang akan berlaku. Jadi pada saya, sistem SBPA itu tidak wajar diperkenalkan oleh kerajaan kerana ia pasti akan menimbulkan pelbagai kecelaruan dalam sektor awam," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Sistem SBPA yang akan dilaksanakan oleh kerajaan itu adalah bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang digunakan sekarang seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Dalam SBPA itu banyak perubahan yang akan dilakukan dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya penjawat awam, dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan berasaskan prestasi kerja.

Antara lain yang terkandung dalam sistem tersebut termasuk mewujudkan dasar pemisah bagi penjawat awam berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan jawatan.

Dalam sistem baru itu juga, pembentukan gaji sebaris digunakan dengan diwujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lama selain gaji maksimum bagi gred yang lebih tinggi.

Bagi penjawat awam yang menerima opsyen SBPA akan menerima kenaikan gaji tahunan antara RM80 hingga RM320 dan faedah kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus. Kerajaan juga mengumumkan untuk melanjutkan usia persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun.

Bagi golongan dalam kumpulan guru atau gred gaji DG dengan tempoh bagi kenaikan gred antara DG41 ke DG44 dan DG44 ke DG48 telah dikurangkan kepada 8 tahun sahaja, berbanding sebelum ini selama 10 tahun untuk kenaikan gred dalam jawatan perguruan.

Menurut Mahfuz, setelah diteliti opsyen SBPA dengan menyeluruh, ternyata penilaian atau pemarkahan prestasi kakitangan akan dibuat dengan 3 peringkat, manakala mereka yang dicatatkan markah bawah 70 peratus akan dinasihatkan bersara atau dipersarakan.

"Sistem pemarkahan sememangnya amat jelas terdedah kepada manipulasi. Mereka yang akan diberikan markah tinggi itu nanti diyakini akan turut didasarkan kepada sokongan mereka terhadap parti Kerajaan BN yang memerintah.

"Sekiranya mereka didapati menyokong pembangkang, mereka pasti akan diberikan markah prestasi yang rendak, walaupun merekalah sebenarnya yang betul-betul berprestasi dan wajar diutamakan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau memberikan contoh kepada nasib buruk yang menimpa beberapa orang guru yang sememangnya cukup berwibawa tetapi menyokong pembangkang yang bukan sahaja dinafikan kenaikan pangkat, tetapi telah ditukar ke kawasan pedalaman.

Katanya, begitu juga dengan nasib yang telah menimpa Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim, sehingga telah diturunkan pangkat sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) berkuat kuasa 1 Mei lalu.

"Walaupun Datuk Judin sememangnya cukup bertanggungjawab, berprestasi dan berintegriti, tetapi disebabkan sikapnya yang tidak menyokong tindakan-tindakan yang tidak elok para pemimpin BN, beliau akhir telah diturunkan pangkat.

"Saya yakin kejadian seperti itu pasti akan berlaku dengan berleluasa nanti apabila sistem baru itu digunakan, sehingga menyebabkan banyak kakitangan awam yang teraniaya," tegas beliau.

Wednesday, December 14, 2011

Keputusan terima atau tolak skim saraan baru esok


Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan membuat keputusan esok sama ada menerima tawaran skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

cuepacs omar osman 181007Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata keputusan untuk menerima atau menolak SBPA akan diputuskan oleh 135 ahli persatuan gabungan CUEPACS dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang akan menghadiri kongres penuh di Hotel Brasmana, Kuala Perlis.

"Kongres ini khusus membincangkan SBPA kerana taklimat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada kami hanya menyentuh perkara dasar. Kami juga tiada maklumat tambahan selain pekeliling yang diedarkan," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada anggota-anggota CUEPACS negeri Kedah di Sungai Petani, hari ini.

Katanya, tempoh dari 16 hingga 30 Disember ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk menandatangani surat tawaran SBPA juga terlalu singkat.

Beliau berkata, CUEPACS meminta anggotanya tidak menandatangani surat tawaran JPA sehingga mereka berpuas hati dan memahami sepenuhnya SBPA.

"Pada pengetahuan kami tawaran JPA melalui SBPA seolah-olah penjawat awam tiada pilihan. Macam mana kita hendak setuju terima jika kandungan penuh tawaran tersebut tidak jelas," kata Omar.

azlanKatanya, hasil taklimat CUEPACS dalam jelajahnya ke sembilan buah negeri sehingga hari ini menyatakan anggota mereka tidak memahami dengan jelas SBPA.

Antara perkara utama dibangkitkan mereka ialah prestasi bagi yang mendapat markah tinggi adakah benar akan mendapat apa yang dijanjikan dan kesannya kepada yang mendapat markah kurang dari 70, tambahnya.

Omar berkata, CUEPACS akan meminta JPA menyertainya dalam jelajah ke seluruh negara memberi penerangan kepada penjawat awam mengenai SBPA.

Katanya, keputusan penting lain termasuk meminta JPA melanjutkan tempoh menandatangani surat tawaran SBPA juga akan diputuskan esok.

- Bernama

Tuesday, December 13, 2011

Elaun Guru GSTT ditarik

Guru terainaya

Assalamualaikum wbt saudara editor,

Saya merupakan salah seorang guru sandaran terlatih yang telah bkhidmat selama 4 tahun.

Kerajaan telah mengumumkan pada bulan Mac yang lepas bahawa semua GSTT yang mencukupi syarat akan diserap dan diberikan kursus kpli/dpli/kdc bermula tahun 2012.

Berdasarkan kontrak lantikan saya sekarang (contract of services) kami dibayar gaji sebanyak RM1901.80, elaun bantuan sara hidup sebnyak RM300 dan elaun khidmat awam RM300.

Tetapi bermula minggu lepas, semua GSTT dipanggil mengikut PPD masing-masing untuk menukar status kami dari contract of services (cos) kepada contract for services (cfs).

Berdasarkan contact cfs gaji akan dibayar sebanyak RM2331dan tiada elaun lain.

Gaji GSTT cfs dibayar berdasarkan hari bekerja. Malang bagi kami, GSTT cos apabila dipanggil dan dipaksa menandatangani pertukaran kontrak dari cos kepada cfs dan terpaksa memulangkan semula perbezaan gaji yang kami telah terima dan caruman kwsp majikan kepada kerajaan bermula 11/10 dan gaji bulan disember akan dibayar mengikut hari bekerja.

Ini satu penganiayaan bagi kami. Di mana kami nak dapatkan wang untuk pulangkan semula wang tersebut sedangkan kami baru dimaklumkan mengenai pertukaran kontrak ini pada bulan Disember.

Walhal kami juga telah menerima surat tamat konrak berakhir 31 disember 2011 berdasarkan contract of services. Apa beza kami GSTT dengan guru tetap? Beban kerja kami sama seperti guru-guru tetap yang lain. Adakah kami tiada hak untuk bercuti?

-Guru terainaya

Tuesday, December 6, 2011

46 Buah SRJK (C) Dapat Peruntukan RM1.56 juta




























SHAH ALAM , 6 DIS : Sebanyak 46 buah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK) (C) untuk Fasa Kedua di seluruh Selangor mendapat peruntukan berjumlah RM1.56 juta bertujuan meningkatkan lagi hub ilmuan dan hub pendidikan berdasarkan konsep hasil rakyat untuk rakyat.

Exco Pendidikan,Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Insan Dr Halimah Ali berkata pada tahun 2011,kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM 6 juta untuk diagihkan kepada SRJK (C) demi menyediakan mutu perkhidmatan terbaik.

" Pada Fasa Pertama,sebanyak 75 buah sekolah yang telah menerima bantuan pendidikan yang berjumlah RM2.35 juta pada Fasa kedua, kita telah meluluskan permohonan sebanyak 46 buah sekolah yang akan menerima bantuan secara direct grant daripada kerajaan negeri Selangor.

"Bantuan ini telah menyebabkan kerajaan persekutuan bersetuju memberikan RM100 juta kepada SRJK(C) , RM100 juta kepada SRJK (T) dan juga RM 100 juta untuk sekolah agama , jadi kerajaan negeri mulakan dahulu dengan memberi bantuan baru kerajaan persekutuan ikut," kata Halimah.

Majlis penyerahan cek bantuan pembangunan pendidikan ini disempurnakan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang diadakan di ruang legar bawah Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

Turut hadir dalam majlis tersebut Exco Selangor Ronnie Liew,Teresa Kok, Elizabeth Wong, Ean Yong Hian Wah, Adun Sekinchan Ng Suee Lim,Adun Meru Dr Abdul Rani Osman, Adun Lembah Jaya Khasim Ahmad, Adun Seri Muda Shuhaimi Shafie dan juga penyelaras - penyelaras DUN .

Menurut Halimah lagi, permohonan bantuan pendidikan bagi Fasa 1 tahun 2012 sudah dibuka sejak 5 Disember dan tarikh tutupnya pada 3 Februari 2012.

" Borang permohonan boleh diperolehi melalui website Kerajaan Negeri Selangor iaitu www.selangor.gov.my atau di pejabat Exco Pendidikan atau Pusat Khidmat Masyarakat dan Pejabat Daerah di kawasan masing-masing.

"Adun-Adun dan Pusat Khidmat Masyarakat disarankan untuk membantu sekolah-sekolah dalam membuat urusan permohonan. Pihak Adun dan Pusat Khidmat juga diminta untuk memantau sekolah-sekolah yang menerima bantuan daripada kerajaan negeri," katanya.

PPSMI: Bukti Umno Bela Bahasa Melayu Hanya Retorik

SHAH ALAM, 7 DIS : Kelantangan Umno sebagai perjuang Melayu di perhimpunan Agung parti itu baharu-baharu ini seharusnya dibuktikan dengan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Setiusaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Suhaizan Kayat berkata walaupun pelbagai usaha dan perbincangan dilakukan untuk memansuhkan PPSMI, namun Kerajaan Persekutuan sehingga kini tidak konsisten dengan pendiriannya berhubung pemansuhan PPSMI.

"Kita memberi beberapa penekanan dengan reaksi flip-flop kerajaan yang bertindak tidak konsisten, ini disusuli dengan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) yang memberi tekanan kepada Kerajaan Persekutuan.

"Perubahan pendirian kerajaan ini jelas tidak konsisten, perkara ini amat mengecewakan kami,"jelas Suhaizan.

Kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan bersetuju memansuhkan PPSMI pada 2016 di peringkat sekolah rendah dan 2021 pada sekolah menengah merupakan tiada kesungguhan kerajaan memperjuangkan kedaulatan bahasa melayu.

Manakala Mahyuddin ketika menyampaikan ucapan di perhimpunan Agung Umno baru-baru ini di atas tajuk ' 'Ketuanan Melayu'tetapi dalam masa yang sama membelakangkan bahasa rasmi negara dalam sistem pendidikan adalah bukti Umno tidak ikhlas dalam memperjuangkan hak orang melayu.

Demontrasi besar-besar membantah PPSMI yang dianjur GMP pada 7 Mac 2009 disertai lebih 70,000 rakyat yang kemudiannya memaksa kerajaan bersetuju berunding bagi memansuhkan PPSMI.

Muhyuddin kemudiannya berjanji kerajaan akan memansuhkannya pada 2012 tetapi ternyata tipu muslihat pemimpin Umno tersebut terserlah apabil Oktober lalu beliau mengumumkan pemansuhan tersebut pada 2016 dan 2021.

PPSMI bermula ketika era Dr Mahathir Mohamad pada 2003 yang menelan belanja RM5.1 billion. Keengganan kerajaan memansuhkan PPSMI kerana didakwa projek tersebut telah diberikan kepada kroni-kroni yang membabitkan kerja-kerja penterjemahan, percetakan dan pengurusan.

Suhaizan ketika dihubungi TVSelangor berkata, apa yang dikhuatiri bekas Presiden GMP, Allahyarham Dato' Dr Hassan Ahmad sebelum ini menjadi kenyataan dimana kesungguhan Kerajaan Persekutuan memansuhkan PPSMI ini dilihat amat longgar.

"Apa yang dikhuatirinya benar-benar berlaku dan kita setakat ini menunggu perkembangan seterusnya dari pihak kerajaan,"katanya.

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk melancarkan gerakan bantah PPSMI sekali lagi sekiranya kerajaan Persekutuan enggan mengotakan janji-janjinya.

GMP merupakan gabungan badan-badan bahasa, NGO dan parti-parti politik yang ditubuhkan untuk mendesak kerajaan supaya memansuhkan dasar yang diperkenalkan sejak 2003.

Thursday, December 1, 2011

PENEMPATAN GURU MENJADI TANDATANYA

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Gabungan Mahasiswa Pendidik Kebangsaan (GMPK) hari ini membawa tuntutan mereka agar Menteri Pelajaran menyelesaikan masalah penempatan guru ke Parlimen untuk diambil tindakan segera.

Gabungan tersebut mengambil tindakan demikian selepas masih belum ada tindakan positif daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mahupun Kementerian Pengajiian Tinggi (KPT) berhubung masalah yang dihadapi mereka.

Presiden GMPK, Mohd Abdullah Mohd Yusuf berkata, pihaknya menggesa Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkaji semula dan menyelaraskan dasar pengambilan Guru Sandaran Tak Terlatih (GGSTT), Kursus Pengajian Lepasan Ijazah (KPLI), Diploma Pengajian Lepasan Ijazah (DPLI), j-QAF dan guru pakar luar negara di setiap peringkat.

Pengambilan guru-guru selain daripada Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) katanya tidak wajar kerana dalam masa sama masih ramai guru yang belum mendapat penempatan.

"Kementerian Pelajaran Malaysia perlu segera mengumumkan tarikh rasmi dibuka permohonan penempatan guru ISMP," kata beliau pada sidang media sebelum menyerahkan memorandum tuntutan kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

GMPK yang ditubuhkan selepas konvensyen pra perguruan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bulan lalu turut menuntut KPM menjelaskan segera status kontrak pemegang biasiswa kementerian yang masih belum mendapat penempatan.

Selain itu, kerajaan dicadangkan memberi insentif dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan ISMP sehingga mendapat pekerjaan tetap, serta menyelesaiakan masalah dalaman di antara KPM dan KPT.

"Unjuran KPM semasa menawarkan program khusus pendidikan di IPT dengan pengumuman terbaru had umur persaraan dinaikkan ke 60 tahun baru-baru ini tidak selari menyebabkan masalah lambakan graduan ISMP," katanya.

Sementara itu, Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS selepas mendengar tuntutan tersebut berkata, KPM perlu mencari penyelesaian segera bagi mengelakkan graduan ISMP tiada pekerjaan setelah bertungkus lumus menjalani pengajian.

Katanya, kerajaan seharusnya sudah jelas bilangan guru yang diperlukan sebelum melakukan pengambilan pelajar dalam bidang ini.

"Masa depan mereka agak suram dan memerlukan kata putus daripada pihak kerajaan agar mereka segera mendapat penempatan.

"Ini merupakan satu kecelaruan, ketidakselarasan di antara KPT dan KPM.

"Kerajaan seharusnya dapat mengenal pasti masalah-masalah yang bakal timbul, tidak sepatutnya wujud lambakan bakal guru ini," katanya.

Awal November lalu, graduan ISMP Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memulakan demonstrasi menuntut diberi penempatan dan membantah kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengarahkan graduan UPSI supaya "cari kerja lain".