Baru-baru ini Muhyiddin Yassin yang entah mengapa masih tidak cukup dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri tetapi mahu terus jadi Menteri Pelajaran mengatakan sistem pendidikan kita lebih baik dari Amerika Syarikat, Britain atau Jerman. Kita perlu menyambut kenyataan ini penuh seronok apatah lagi keputusan Sijil Perguruan Malaysia (SPM) sudah pun diumumkan minggu lepas dan seperti biasa, wajah-wajah sukses akan disiarkan di kaca televisyen dan akhbar tentang kehebatan pencapaian mereka.
Kecohlah sekolah dengan naik turun peratusan pencapaian pelajar, gred purata serta itu ini. Guru-guru kelam-kabutlah menyiapkan laporan jika subjek yang mereka ajar jatuh prestasinya. Akan dihempapkanlah segala kesalahan kepada mereka. Jika peratus lulus sesebuah sekolah meningkat maka akan naiklah nama pengetua, sekolah dan guru-guru sekaligus menjadi batu loncatan kenaikan pangkat atau jawatan.
Nanti dulu! Itu sahajakah yang difikirkan dalam sistem pendidikan kita? Statistik, angka atau gred sahajakah? Bagaimana dengan Falsafah Pendidikan Nasional yang objektifnya untuk melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI)? Apakah sekadar menjadi hiasan mural di dinding sekolah atau maktab sahaja? Jika seseorang pelajar mendapat 8A apakah itu petanda cemerlang tahap keintelektualan mereka? Bagaimana jika pelajar ini sekadar menghafal fakta ataupun menyeludup masuk nota kecil (biasanya ini dipanggil membawa toyol) ke dalam dewan peperiksaan untuk ditiru? Apa pula skala hendak digunakan bagi mengukur kecemerlangan emosi, rohani dan jasmani?
Inilah padahnya apabila sistem pendidikan juga dipolitikkan dengan tujuan untuk mencari nama. Apabila bertukar sahaja seseorang ketua atau menteri maka akan berubahlah sesuatu dasar sedangkan dasar yang lama belum pun dapat dilihat kejayaannya. Ikut kepala sahaja. Sekejap PPSMI sekejap mansuh. Sekejap aliran vokasional kemudian bertukar ke aliran teknik. Lepas itu berpatah semula menjadi vokasional. Tidak sampai tiga tahun diubah lagi. Yang menjadi mangsa eksperimen tidak berfaedah ini adalah pelajar.
Dasar tidak konsisten ini dicacamerbakan lagi di peringkat sekolah apabila pengetua dan guru-guru menjadikan peratusan sebagai matlamat pengajaran. Selain strategi untuk memajukan semua pelajar ada juga strategi "menyusun" pelajar di mana tumpuan sepenuhnya diberikan kepada pelajar-pelajar yang berpotensi mengharumkan nama sekolah. Yang kurang berpotensi, kuranglah perhatiannya. Hendak mendidik mereka menjadi seorang insan yang berprinsip, jati diri, mampu berfikiran kreatif dan kritis serta bertindak matang-tiada masa. Beban tugas terlalu banyak.
Pelajar-pelajar yang keciciran akan terus tercicir. Ibu bapa yang mampu boleh kemudiannya menghantar anak-anak yang kurang berjaya ini ke pusat pengajian swasta. Asalkan ada duit. Pusat pengajian swasta berlambak di pasaran meniagakan sekeping kertas dipanggil sijil. Yang tidak mampu terus masuk ke alam pekerjaan, makan gaji. Selamat! Hanya sedikit yang berbakat berjaya menempuh hidup dengan berani tanpa mengikut arus perdana.
Pelajar-pelajar yang berjaya telah diskripkan oleh sistem pendidikan kita untuk melanjutkan pelajaran ke kolej atau universiti. Disuruh mereka belajar dan mencari sekeping kertas bergulung bernama ijazah. Beri mereka PTPTN untuk beli telefon bimbit, motorsikal atau apa-apa dan ikat mereka dengan AUKU. (Sayugia disebutkan ada juga penuntut IPTA dan IPTS tidak tahu kewujudan AUKU dan apa tujuannya). Ini kerana generasi ini telah dizombikan oleh sistem pendidikan kita yang didalangi orang politik, bukan hendak memajukan bangsa, negara dan agama tetapi untuk kepentingan sendiri sehingga generasi rosak berkecai. Menjadi robot sekurang-kurangnya masih boleh bekerja mengikut apa yang diprogram, tetapi menjadi zombi langsung tidak berguna malah tambah merosakkan.
Kata orang Cina "Nang Bu Ti Nang, Kui Mu Ti Kui - Orang Bukan Orang, Hantu Bukan Hantu". Teruskanlah berpolitik. Marilah kita berbangga mempunyai seorang Menteri Pelajaran yang juga menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri dengan pencapaian pelajar yang ramai memperolehi A sebagaimana ramainya pelajar kita yang suka ponteng, buli pelajar lain, memukul guru, melibatkan diri di dalam gangsterisme, buang anak, lari dari rumah, dadah dan seribu satu masalah lagi.
*Ronasina dengan nama asalnya, Mohd Affandi Ramli adalah penulis dan kartunis, juga pengasas Kempen Hope2walk.
No comments:
Post a Comment