Saturday, November 16, 2013

Mansuh SPPBS: Guru kini sudah berani bersuara

Mansuh SPPBS: Guru kini sudah berani bersuara

Harakahdaily, 16 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar) mengajak semua pihak menyokong kempen memansuhkan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS).

Beliau berkata, para guru kini sudah berani tampil menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung sistem tersebut.

Menurutnya, kesedaran guru kini terserlah apabila mereka tampil melalui media sosial dan massa menyuarakan ketidakpuasan terhadap pelaksanaan PBS yang sangat membebankan mereka.

“Keputusan yang dibuat oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK – NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan PBS seharusnya disokong segera oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau lagi, para guru memerlukan sokongan dengan melancarkan kempen pemansuhan itu agar kerajaan mengambil serius berhubung perkara itu.

Sehubungan itu, Abu Bakar menyeru semua pihak yang prihatin terhadap isu pendidikan dan pembangunan insan melancarkan kempen tersebut.

“Lajnah Pendidikan PAS Pusat menyeru termasuk KPPK, ibu bapa dan orang ramai yang prihatin terhadap pendidikan dan pembangunan insan melancarkan kempen pemansuhan PBS yang nyata didapati membebankan guru di negara ini,” katanya.

Pada 9 November lalu, Presiden KPPK,  Hashim Adnan menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan pelaksanaan PBS yang didapati amat membebankan 400,000 guru di negara ini.

Beliau berkata, guru yang selama ini dibebani tugasan yang banyak kini terpaksa berdepan pula dengan PBS sekali gus menjadikan bebanan golongan itu terus meningkat.

No comments:

Post a Comment