Thursday, July 8, 2010

Dua pelajar sindiket pelacuran berhenti sekolah sebelum kes terbongkar


MELAKA 8 Julai - Dua daripada tiga pelajar yang dipaksa menjadi pelacur oleh satu sindiket yang beroperasi di dua buah hotel bajet di bandar raya ini telah berhenti bersekolah sebelum kes itu dibongkar.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Melaka (JPNM) Juliah Leman berkata, salah seorang daripada mereka terpaksa berhenti sekolah atas permintaan ibu bapanya kerana menghadapi masalah disiplin pada 28 Jun lalu sementara seorang lagi pelajar berhenti tanpa sebarang sebab kira-kira tiga tahun lalu.

Katanya, daripada kesemua mangsa sindiket pelacuran itu, hanya seorang daripada mereka yang masih bersekolah di salah sebuah sekolah menengah di bandar raya ini.

"Hasil siasatan pegawai JPNM mendapati dua daripada pelajar yang diselamatkan oleh polis adalah dari Melaka, manakala seorang lagi pula bekas pelajar dari Tangkak, Johor," ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejayaan polis negeri menumpaskan satu sindiket pelacuran melibatkan pelajar sekolah menengah di dua hotel bajet di bandar raya ini yang dipercayai beroperasi sejak Mei lalu.

Tiga remaja tersebut, dua daripadanya berusia 15 tahun dan seorang lagi 14 tahun, mendakwa telah diperdaya oleh sindiket tersebut diselamatkan oleh pihak polis manakala seorang ibu ayam bersama dua pembantunya diberkas.

Dalam dua serbuan yang dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di hotel bajet dan sebuah rumah di Duyung di sini, polis menemui tiga remaja yang mengaku dipaksa menjual tubuh dengan bayaran antara RM60 hingga RM80.

Mengulas lanjut Juliah berkata, ibu bapa tiga mangsa yang dipaksa menjadi pelacur itu telah dihubungi oleh JPNM dan telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Sehubungan itu katanya, pihaknya telah menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian tersebut dan laporan lengkap telah pun dihantar kepada Kementerian Pelajaran petang semalam.

"JPNM hanya menunggu arahan lanjut daripada kementerian sebelum sebarang tindakan susulan diambil,'' ujarnya lagi.

Sambil melahirkan rasa dukacita mengenai pembabitan pelajar sekolah menengah di negeri ini yang terpedaya dengan sindiket pelacuran, Juliah berkata, JPNM telah menjalankan pelbagai program di setiap sekolah bagi membendung gejala sosial ke atas golongan pelajar.

Menurutnya, program yang kerap diberikan tumpuan oleh pihaknya ialah mengenai isu pelajar ponteng sekolah.

No comments:

Post a Comment