

KEMPEN INI ADALAH UNTUK MENYATAKAN BAHAWA GURU-GURU YANG MELANJUTKAN PELAJARAN AKAN TETAPI MENDAPAT IMBUHAN YANG LEBIH SEDIKIT DARI YANG TIDAK BELAJAR...
PETALING JAYA 26 MEI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpendapat Skim Kenaikan Pangkat yang diumumkan Perdana Menteri Najib Razak 16 Mei lalu hanya akan memperbesarkan jurang pendapatan antara guru peringkat pentadbiran dan biasa.
Ini kerana insentif yang diperkenalkan kementerian itu tidak meliputi majoriti guru-guru di negara ini sebaliknya hanya memberi kesan kepada kurang daripada dua peratus golongan tenaga pengajar senior menurut Pengerusi Biro Pendidikan PKR, Abbas Awang.
Selain menyifatkan rata-rata program kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) sebagai anti-klimaks, Abbas berkata kerajaan menyisihkan guru-guru biasa dalam program mereka.
"Guru kanan kuotanya terhad (setiap sekolah). Walaupun cemerlang mereka tidak akan naik. Sebuah sekolah ada satu pengetua dan dua penolong kanan.
"Kalau (gaji guru besar) naik dan beri imbuhan, masalah besar yang bergelumang dengan pendapatan ini adalah golongan bawah," kata beliau.
Abbas turut mendedahkan skim kenaikan pangkat yang diumumkan hanya melibatkan seramai 1,288 orang Pengetua dan tujuh ribu Penolong Kanan Sekolah Menengah dan Rendah yang terpilih.
Tambahnya, ganjaran bersifat terpilih itu hanya memberi manfaat kepada kurang dua peratus warga pendidik daripada jumlah keseluruhan golongan terbabit, berbeza dengan jaminan menaiktarafkan kebajikan keseluruhan pendidik dalam Buku Jingga dengan memberi insentif RM500 setiap seorang.
Jelas Abbas lagi, kenaikan gaji Pengetua dan guru-guru Penolong Kanan adalah tidak sekata iaitu RM190 hingga RM900 sebulan selain akan menelan kos RM80 juta setahun.
Minggu lalu, Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar golongan guru yang dikecualikan daripada skim kenaikan pangkat pada 1 Januari tahun depan supaya bersabar sementara kerajaan mencari penyelesaian untuk turut memberi imbuhan kepada mereka.
Ini susulan bantahan yang diterima daripada guru-guru bertaraf diploma yang merasa terpinggir.
Muhyiddin dalam kenyataannya memberi alasan kerajaan kini dalam proses untuk mengurangkan defisit negara selain mengambil kira kos tambahan akibat kenaikan gaji dan elaun.
Dalam sesi temubual itu, Abbas yang juga bekas Timbalan Pengarah Pelajaran Bahagian Sekolah turut menyuarakan kebimbangan terhadap bilangan tenaga pengajar di sekolah-sekolah sekitar Kuala Lumpur yang semakin berkurangan akibat kos sara hidup tinggi.
Katanya, purata sehingga enam guru yang mengajar di sekolah sekitar bandaraya itu berstatus sementara.
"Sebab kos sara hidup tinggi. Bayangkan gaji guru satu ribu lebih, rumah sewa dan kereta sudah berapa. Akhirnya mereka kata pergi ke Kuala Lumpur mereka jatuh miskin," kata beliau.
Tambah Abbas sekiranya Pakatan Rakyat diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum akan datang, fokus akan tertumpu kepada maktab-maktab perguruan dalam usaha
membentuk budaya pendidik cemerlang selain insentif RM500 yang dijanjikan.
Menurut statistik Kementerian Pelajaran Malaysia, jumlah bilangan guru setakat 31 Januari 2011 berjumlah 408,764 orang di 9,980 buah sekolah seluruh negara.
Manakala kementerian itu mencatatkan bilangan murid seramai 5,332,777 orang menjadikan purata tiga belas orang murid kepada seorang guru.
Datuk Mahfuz Omar juga mendakwa, langkah kerajaan yang hanya memberikan kenaikan pangkat kepada golongan guru berpendapatan tinggi itu menunjukkan bahawa kerajaan berusaha untuk menipu golongan cerdik pandai itu.
Mahfuz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan menteri pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu yang sekadar meminta supaya kumpulan guru yang tidak menikmati kenaikan gaji itu supaya bersabar.
Muhyiddin juga sebelum ini menjelaskan bahawa kerajaan bertindak demikian sebagai langkah penjimatan perbelanjaan dan juga untuk mengurangkan defisit kerana kenaikan pangkat itu melibatkan jumlah guru yang ramai.
Mahfuz yang juga naib presiden PAS turut menegaskan bahawa langkah penjimatan melalui pengurangan subsidi itu juga akhirnya akan menyebabkan rakyat menanggung kos yang lebih tinggi.
Perbelanjaan meningkat
“Kerajaan sebenarnya telah memindahkan defisit kerajaan kepada guru berpendapatan sederhana," katanya dan menambah, hanya sebanyak 30 peratus sahaja daripada kira-kira setengah juta guru dalam negara ini yang akan menikmati kenaikan pangkat itu.
"(Tindakan) mengurangkan subsidi menyebabkan kos meningkat. Perbelanjaan rakyat juga turut meningkat (sedangkan) pendapatan tidak mencukupi.
“Guru merupakan individu yang melahirkan seorang pemimpin, tindakan pihak kerajaan dengan menaikkan pangkat sebilangan guru saja umpama tindakan menipu orang cerdik,” katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini.
Tambahnya, langkah kerajaan itu juga menunjukkan bahawa kerajaan begitu terdesak untuk menjaga kebajikan pekerja semenjak Pakatan Rakyat melancarkan Buku Jingga pada Disember tahun lalu.
Manifesto berkenaan antara lainnya menggariskan usaha Pakatan untuk memastikan agihan kekayaan yang saksama bagi golongan pekerja.
“Tindakan yang seharusnya dilakukan oleh pihak kerajaan ialah menaikkan gaji semua guru seperti apa yang dicadangkan oleh pihak PKR baru-baru ini,” tegasnya yang turut menyeru kumpulan guru itu supaya lebih vokal dalam menyatakan tuntutan melalui kesatuan mereka.
Tapi dapat bonus
Sementara itu, ahli parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan pula tetap mempertahankan langkah "rasional" itu kerana tidak ada guru yang akan didiskriminasi dalam kenaikan pangkat berkenaan.
Ketika ditanya, beliau menafikan bahawa tindakan kenaikan pangkat itu dijalankan bagi menghadapi pilihan raya yang bakal menjelang.
“Kalau pembangkang memang akan berkata sedemikian (untuk pilihan raya).tapi bagi saya ia sesuatu yang tidak masuk akal,” kata Abdul Rahman ketika dihubungi.
Jelasnya, kenaikan ke atas kumpulan guru itu tidak melibatkan guru yang berpendapatan sehingga mencecah RM20,000.
"Tidak ada yang dianaktirikan,” katanya lagi yang menambah, kumpulan guru yang berpendapatan lebih rendah itu juga akan menikmati kenaikan pangkat.
“Jika kita mampu bagi setengah, kita bagi setengah dulu. Waktu ini untuk segmen (pangkat tinggi) dahulu.
“Kerajaan bagi kenaikan berkenaan berdasarkan kemampuan pihak kerajaan. Namun perdana menteri sendiri masih sedang berbincang dengan timbalan perdana menteri berkenaan kenaikan pangkat atau gaji bagi guru-guru yang lain,” katanya lagi.
Abdul Rahman juga berkata golongan guru yang berpendapatan rendah juga sebelum ini telah menikmati bayaran bonus.
"Kerajaan telah bagi (bonus) kepada golongan berpendapatan dua ribu ke bawah. Yang penting kerajaan ikhlas,” katanya.
SIBU 24 Mei - Parti Rakyat Sarawak (PRS) melahirkan kebimbangan terhadap laporan bahawa Kementerian Pelajaran akan menghantar sekitar 80,000 guru dari Semenanjung ke negeri ini tahun depan.
Presidennya, Datuk Dr. James Jemut Masing berkata, mereka terutama bimbang kerana di kalangan kumpulan itu, sejumlah besar akan terdiri daripada guru agama.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan praperayaan Gawai Dayak anjuran Sayap Wanita PRS Bukit Assek di sini malam tadi, beliau berkata" “Mereka (guru-guru agama) itu tidak dilihat sebagai ustaz atau ustazah tetapi sebagai kaunselor bagi “perkara yang saya tidak pasti”.
Hal ini membimbangkan dalam erti bahawa jika mereka sebenarnya sebagaimana dikatakan, kecenderungan untuk mengajar tidak ada tetapi lebih kepada melihat aspek-aspek agama, dakwa beliau.
"Di sinilah mungkin timbul implikasi berlainan,” katanya.
"Saya harap saya salah. Saya senang hati jika saya salah,” tambahnya.
Sarawak, mengikut Masing, selama ini begitu aman dan liberal dalam banyak hal termasuk agama. - Bernama
Kira-kira 400,000 guru kelas biasa kecewa dengan pengumuman kerajaan pada Hari Guru baru-baru ini yang hanya membawa berita gembira kepada 2,000 guru besar dan guru penolong kanan yang akan menikmati kenaikan gaji mulai awal tahun depan.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Lok Yim Pheng berharap kerajaan akan menangani rintihan dan masalah serta memberikan mereka lebih banyak peluang kenaikan pangkat. "Ironinya di sebalik membawa kegembiraan, pengumuman itu menimbulkan kebimbangan dan rasa sedih di kalangan guru kerana sejumlah besar daripada mereka seperti diketepikan," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.Lok juga meminta guru-guru yang dipinggirkan ini tetapi menjadi "teras" pendidik peringkat akar umbi supaya bertenang dan meneruskan tugas-tugas murni mereka seperti biasa serta menyerahkan kepada kesatuan soal mengenai perjuangan menjaga kebajikan mereka.
Beliau berkata, pihak kesatuan yang mewakili 140,000 guru di seluruh negara akan berusaha untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secepat mungkin untuk memaklumkan sendiri mengenai rintihan dan masalah yang dihadapi oleh guru kelas biasa.
Ramai tak puas hati
Menurutnya, pihak kesatuan tidak akan menghampakan guru-guru ini kerana mereka merupakan "tonggak" pendidikan, di mana semua sekolah bergantung kepada kejayaan meraka melaksanakan tanggungjawab dengan baik."Tanpa dedikasi guru-guru kelas ini, kalangan guru besar dan pengetua sahaja tidak akan dapat mengendalikan sekolah," katanya.
Sementara itu, tinjauan rambang Bernama mengesahkan kenyataan kesatuan itu bahawa ramai guru pada dasarnya tidak berpuas hati dengan pengumuman kerajaan yang memberikan kelebihan hanya buat ketua-ketua sekolah.
Seorang guru yang dikenali sebagai Chandran, 45, yang berpengalaman 18 tahun mengajar berkata, beliau amat sayangkan karier sebagai seorang guru dan amat sayangkan muridnya, namun beliau merasa kecewa kerana merasakan dedikasinya selama ini seperti tidak dipandang.
"Saya biasanya pulang ke rumah sejam atau dua jam lebih lewat kerana saya lanjutkan masa mengajar di sekolah, khusus buat pelajar yang lemah, malah saya ambil inisiatif himpunkan mereka pada hujung minggu untuk membantu mereka dalam pelajaran, namun ini nampaknya tidak dihargai oleh pihak sekolah," katanya.
Seorang lagi guru yang hanya mahu dikenali sebagai Miss Tan berkata, beliau sedih dengan pengumuman itu, kerana beliau mahupun rakan-rakan sejawatannya tidak memperolehi apa-apa manfaat daripadanya.
"Kami bekerja keras, tapi dedikasi kami seperti tidak dihargai," katanya.
Berkaitan:
'Berita gembira' yang kononnya dinanti-nantikan lebih 400 ribu warga pendidik sempena sambutan Hari Guru 2011 akhirnya muncul dengan berita basi mengenai peluang kenaikan pangkat yang hanya melibatkan beberapa ribu guru sahaja.
Mereka yang berpeluang menikmati kenaikan pangkat pula, bukanlah sepenuhnya dilaksanakan secara automatik tetapi perlu melalui beberapa karenah birokrasi malah ada yang berhadapan tindakan pilih kasih di pelbagai peringkat pengurusan.
Kononnya guru-guru juga berpeluang 'menikmati' kenaikan gaji tahunan - semua kakitangan kerajaan tanpa mengira jabatan, 'menikmati' kenaikan gaji tahunan melainkan kes-kes tertentu dan terpencil hingga menyebabkan gaji mereka ditahan. Bagi golongan yang telah mencapai tahap gaji maksimum, apa yang dapat mereka nikmati melainkan kekal pada tahap gaji yang sama untuk beberapa tahun sebelum bersara.
Akhirnya, berita gembira yang dinanti-nanti, yang diumumkan sempena Hari Guru, hanyalah berita basi yang hanya dapat memanfaatkan sebilangan kecil warga pendidik. Maaf ya, cikgu pun tertipu dengan 'berita gembira'. Pengumuman Perdana Menteri amat jauh daripada kesediaan kerajaan Pakatan yang menjanjikan kenaikan gaji RM500 sebulan kepada kesemua warga pendidik dalam tempoh 100 hari berjaya mengurus dan mentadbir Putrajaya.
Insentif Guru : Kesatuan Sekerja Kecewa
KUALA LUMPUR 17 MEI : Beberapa kesatuan sekerja perkhidmatan guru mendesak kerajaan meneliti semula insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam, yang disifatkan sebagai tidak memenuhi permintaan dan keperluan utama warga pendidik keseluruhan peringkat.
Desakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) dan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) lahir daripada rasa tidak puas hati terhadap insentif yang disifatkan tidak memberi manfaat kepada keseluruhan guru.
Laporan Berita Harian hari ini memetik mereka kecewa kerana enam tuntutan yang dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada pertemuan 28 April lalu tidak diberi perhatian termasuk tuntutan kenaikan gred guru besar di sekolah kurang murid.
Selain itu, tuntutan supaya kerajaan mewujudkan jawatan gred DG40 iaitu gred tertinggi dalam Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD), selain memperluaskan gred DGA38 kepada semua guru besar dan pengelola kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) gagal dilakanakan.
Mereka mendakwa kerajaan juga tidak memberi perhatian terhadap tuntutan gred jawatan pegawai pelajaran daerah di sebanyak 139 PPD membabitkan gred DG52 serta pelaksanaan nisbah seorang guru dengan tujuh murid khususnya bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah.
Dalam perutusan sempena Hari Guru semalam, Najib berkata, sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan perguruan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya ‘time-based’ perlu diberi nafas baru.
“Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun.
“Makanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya,” katanya.
Oleh itu kata beliau, kerajaan memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran atau PDP yakni Guru Wibawa dan Pendeta Guru di mana guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.
“Jelasnya, pewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan,” kata Najib.
Selain itu, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.
Najib berkata, mereka juga boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.
“Namun, untuk guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.
“Untuk ini, kerajaan bersetuju menambah lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah jumlah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru,” kata beliau.
Selanjutnya, Najib menambah, sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan, kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.
Sementara itu, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 akan melibatkan 6,585 jawatan.
Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.
Dalam pada itu, Presiden NUTP Hashim Adnan berkata insentif yang diberikan tidak membabitkan guru yang mengajar di sekolah rendah dan menengah, walhal permintaan sudah beberapa kali disuarakan sebelum ini.
Dipetik akhbar harian itu, beliau berkata, NUTP kecewa kerana kenaikan gred hanya dikuatkuasakan bermula 1 Januari depan, menyebabkan pengetua dan GPK yang bersara tahun ini tidak dapat menikmati insentif berkenaan.
Yang Dipetua GMGBM Ruslan Madon pula berkata apa yang diperjuangkan gabungan itu sejak empat tahun lalu gagal direalisasikan sedangkan kenaikan gred bagi guru besar sekolah kurang murid jika dilaksanakan hanya membabitkan RM5 juta stahun.
Sementara itu, Presiden KKGLMSM Jamale Paiman memberitahu pihaknya berharap kerajaan mengambil tindakan segera bagi memastikan kebajikan 160,000 PPPLD daripada jumlah keseluruhan 430,000 guru terjamin.
KUCHING, 16 Mei — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, keputusan kerajaan memberi lima kaedah kenaikan pangkat baru di bawah skim perkhidmatan guru dilakukan sepanjang masa dan bukan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Muhyiddin (gambar) yang juga Menteri Pelajaran berkata, usaha kerajaan untuk menambah baik skim perguruan akan diteruskan sebagai kesinambungan kepada keperluan transformai kecemerlangan perkhidmatan berkenaan.
“Boleh kita tekan bahawa perkhidmatan perguruan di negara ini mendapat layanan yang adil,” katanya dipetik laporan Bernama.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru 2011, peringkat kebangsaan ke-40 di sini hari ini.
Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana memberi tumpuan istimewa kepada profesion perguruan walaupun negara sedang mengawal defisit kewangan.
Katanya, pengumuman Najib melalui tayangan rakam video pada majlis bertema “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” itu adalah satu berita yang amat baik bagi warga pendidik.
Dalam meneliti berita baik yang diumumkan itu, Muhyiddin berkata, kementeriannya akan terus berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan terus mencari kaedah terbaik, khasnya untuk guru siswazah yang terletak di kategori jawatan diploma.
Beliau yang merasa bangga dengan perkhidmatan guru yang semakin cemerlang, berkata jika dulu didapati amat sukar untuk menyukat tahap kecemerlangan guru, kini kementerian mempunyai pendekatan baru melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
KUCHING 16 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru dengan mengkategorikan mereka mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.
Katanya, empat lapisan jawatan itu akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.
"Melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke Gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta syarat-syarat lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan," katanya dalam rakaman video yang ditayangkan pada sambutan Hari Guru Kebangsaan, di sini hari ini.
Perdana Menteri mengumumkan, semua guru yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.
Katanya lagi, bagi guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang menikmati pergerakan gaji tahunan.
"Untuk ini, kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru," katanya.
Najib juga mengumumkan, kerajaan bersetuju menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.
Katanya, semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 dan ini melibatkan 6,585 jawatan.
"Seterusnya, semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan 99 jawatan," katanya. - Utusan
Ganjaran guru besar bulan depan
Oleh Amirullah Andi Nur
Pendidik cemerlang diiktiraf
MERLIMAU: Seperti dijanjikan, 586 guru besar dan 2,800 guru serta kakitangan sokongan sekolah terpilih menerima ganjaran yang diperkenalkan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) hasil kecemerlangan meningkatkan pencapaian sekolah untuk melepasi sasaran yang ditetapkan.
Di bawah Tawaran Baru itu, guru besar menerima RM7,500, manakala lima peratus daripada keseluruhan guru sekolah terbabit menerima RM1,800 dan bakinya mendapat RM900.
Guru besar terbabit antara 925 atau 12.10 peratus bilangan sekolah yang layak menerima ganjaran di bawah Tawaran Baru oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) di seluruh negara pada tahun lalu.
Ia diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada majlis penyampaian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin, Ayer Tawar, semalam.
Beliau mengumumkan ganjaran diberi kepada pengetua dan guru sekolah menengah selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan bulan depan.
“Pencapaian sebenar di luar jangkaan kerana sasaran awal pemimpin sekolah yang layak menerima ganjaran bagi penilaian 2010 adalah dua peratus. Peningkatan antara lain disebabkan peningkatan kualiti kepemimpinan dan tahap pengajaran serta pembelajaran guru
“Berdasarkan verifikasi, guru sekolah yang memenuhi semua kriteria untuk menerima ganjaran adalah 7.7 peratus, bertambah lebih 300 peratus berbanding sasaran awal,” katanya yang turut merasmikan sekolah bernilai RM28 juta itu.
Anugerah Tawaran Baru adalah satu inisiatif yang diperkenalkan kerajaan pada awal tahun ini di bawah NKRA Pendidikan bagi memberi ganjaran dan pengiktirafan kepada pengetua dan guru besar dalam usaha mereka melonjakkan kecemerlangan sekolah.
Daripada 586 sekolah terpilih, 437 atau 74.32 peratus adalah sekolah luar bandar, selain Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Asli, SK Khas dan Sekolah Rendah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Muhyiddin berkata, sekolah dalam kelompok pertengahan atau gagal menepati sasaran skor komposit 84 peratus atau mengalami lonjakan dari aspek kedudukan tidak akan diabaikan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan khabar gembira buat warga pendidik bersempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut, sebaliknya berkata: "Insya-Allah, tunggulah..."
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama warga pendidik Pahang di Kuantan hari ini, Muhyiddin berkata cabaran baru warga pendidik kini amat mencabar dalam usaha kerajaan mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.
"Paling utama ialah soal menyediakan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran selari dengan sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020," katanya.
Turut hadir pada majlis yang disertai lebih 2,000 warga pendidik Pahang ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata peranan guru amat penting dalam mendidik anak bangsa bagi mewujudkan modal insan berkualiti pada masa depan.Katanya kerajaan juga telah menggariskan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang bakal menyediakan 33 juta peluang pekerjaan serta tenaga kerja terlatih dalam semua bidang.
"Terdapat 12 sektor ekonomi perlu diisi dengan tenaga manusia terlatih dan ia merupakan cabaran besar untuk disediakan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
"Dalam konteks menjadi negara maju, kita berhadapan dengan persaingan, kecekapan pengurusan, keupayaan menjana sumber baru dan nilai tambah tinggi yang mana perkara itu berpandukan kepada penyediaan tenaga kerja terlatih," katanya.
Beliau berkata kesemua perkara itu memerlukan tuntutan warga pendidik yang mempunyai beban tugas mencabar bagi membentuk manusia terlatih.
Muhyiddin berkata tugas guru bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi menerapkan sifat perwatakan sahsiah baik, berakhlak dan berbudi pekerti kepada pelajar.
Beliau berkata dalam tempoh akan datang, Kementerian Pelajaran juga akan membantu warga pendidik daripada segi kebajikan guru, perjawatan, peralatan dan infrastruktur bagi membantu meningkatkan kecekapan guru dalam pengajaran.
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (surah al hadid 57;20)