KUALA LUMPUR 16 MEI : Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin para guru yang ada pada hari ini mempunyai iltizam yang jitu dalam membela dan memartabatkan mutu pendidikan negara bagi mencapai sasaran pendidikan sempurna.
Keyakinan ini diungkapkan oleh Wan Azizah sempena perutusan hari guru yang jatuh pada hari ini.
“Setiap tahun, pada 16 Mei adalah suatu hari yang sungguh bermakna buat para pendidik terutamanya kepada guru-guru yang sentiasa tabah meneruskan tugas dan tanggungjawab untuk membina anak-anak bangsa yang madani. Begitulah besarnya bakti seorang guru dan sesungguhnya guru adalah penyuluh budi.
“Dikesempatan ini PKR mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh pendidik dari peringkat rendah hinggalah peringkat tertinggi. Tahniah buat guru-guru yang telah menjadi teras pembangunan negara dan persaudaraan rakyat.”kenyataan itu dipetik.
Wan Azizh juga memaklumkan dalam cabaran berdepan dengan gelombang globalisasi, kebajikkan guru-guru mestilah dipelihara. Termasuk memantapkan skim pengajian dan elaun guru yang meliputi kesihatan, keselamatan, keluarga dan persaraan mereka.
Jelasnya, inilah yang PKR akan perjuangkan agar kedudukan pendidik ini terbela seterusnya memperkukuhkan lagi sistem pendidikan negara.
Tambahnya lagi, PKR melihat kerjaya sebagai pendidik ini satu pekerjaan yang mulia dan mesti dipergiatkan untuk golongan muda agar minat kepada tenaga pengajar lebih mendalam disamping dapat membantu ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan negara amnya.
“Guru adalah pencorak minda dan nilai kemanusian sepertimana di dalam Al-Quran Surah Al-Baqarah ayat ke 269 ada menyatakan bahawa “Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNYA (menurut aturan yang ditentukanNYA). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya,” katanya.
Maka, guru adalah insan yang dipilih untuk membentuk perkembangan minda agar kewarasan dan nilai anak-anak dapat dididik sebaiknya.
Oleh yang demikian, PKR bersama-sama rakan dalam Pakatan Rakyat bertekad dengan memastikan apa yang kita hebahkan dalam buku jingga itu akan kita perkotakan dan laksanakan dengan formula pentadbiran yang telus dan mantap.
Imbuhan RM500 sebulan kepada setiap guru itu merupakan satu dari 10 tawaran Pakatan Rakyat kepada rakyat Malaysia untuk dilaksana dalam masa 100 hari selepas diberi mandat sebagai Kerajaan Pusat baru pada pilihan raya umum akan datang. Tawaran itu turut diisytihar dan dicatat dalam Buku Jingga sempena Konvensyen Pakatan Rakyat pada November 2010.
No comments:
Post a Comment