Saturday, November 15, 2014

KULI TIBAI MAT SEMBAB ISU BAHASA

Mementingkan Bahasa Inggeris bukan bermaksud meminggirkan Bahasa Melayu, kata Ku Li

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat keutamaan terhadap Bahasa Inggeris tidak bermakna bahasa lain akan diperkecilkan. – Gambar fail The Malaysian Insider.Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat keutamaan terhadap Bahasa Inggeris tidak bermakna bahasa lain akan diperkecilkan. – Gambar fail The Malaysian Insider.






















Memberi penekanan terhadap pelaksanaan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah tidak bermakna memperkecilkan peranan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, kata veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Bekas menteri kewangan itu berkata, bukan sahaja Bahasa Inggeris, penekanan sama harus diberi kepada bahasa ibunda kaum dan bangsa lain supaya nilai ekonomi pelajar dapat diperbaiki.

Katanya, banyak kajian menunjukkan majikan lebih gemar mengambil graduan yang mampu bertutur dan berkomunikasi menggunakan Bahasa Inggeris, yang merupakan “lingua franca” dalam bidang perniagaan.

"Menekankan pelaksanaan pengajian Bahasa Inggeris bukan semestinya mengurangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Sejak Laporan Razak dalam tahun 1956 lagi, Bahasa Inggeris ditekankan sebagai bahasa kedua di sekolah dan universiti.
  "Apa sudah terjadi sampai kita sekarang berhadapan dengan masalah bahasa komunikasi antarabangsa ini?" soalnya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Kolej Yayasan Saad di Melaka hari ini.

"Dalam usaha memperkasakan sistem sekolah kebangsaan kita, saya cadangkan perkara ini ditekankan dari segi kurikulum, dan kaedah pengajaran dan pembelajaran," kata Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ku Li menyarankan kerajaan memberikan penekanan sama kepada bahasa lain seperti Mandarin, Perancis, Jepun, Arab dan Tamil bagi meningkatkan lagi nilai ekonomi pelajar dalam bersaing dan berhubungan di pasaran dunia.

Katanya, Malaysia juga tidak akan terlepas daripada “perangkap negara berpendapatan menengah” jika perkara berkaitan mutu pendidikan dan tenaga kerja negara tidak dapat diatasi dengan baiknya.
"Dalam hal ini, saya ingin menekankan isu Bahasa Inggeris dan keupayaan pelajar pada semua peringkat berkomunikasi dengannya. Perkara ini tidak boleh diperkecilkan kepentingannya."

Katanya, statistik pada 2011 menunjukkan, kadar pengangguran rakyat Malaysia berumur antara 15 dan 19 tahun ialah 15% atau 78,000 orang, manakala kadar di kalangan mereka yang berumur 20 hingga 24 tahun ialah 8.5% atau 157,000 orang.

"Di kalangan graduan pula, keadaan lebih teruk," katanya.

Ku Li berkata, dalam tahun 2013, Bank Dunia menganggarkan kadar pengangguran di kalangan graduan mencecah 21%, di kalangan pemegang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Diploma purata penganggurannya ialah 13%, manakala di kalangan pemegang Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional 10%.

"Pengangguran di kalangan anak muda kita antara yang tertinggi di rantau Asia, melainkan Indonesia," katanya.

Beliau berkata, keperluan graduan yang boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris tidak seharusnya diperkecilkan.

"Kita selalu terperangkap dengan emosi sempit apabila berdepan soal ini.

"Bahasa Inggeris adalah ‘lingua franca’ ekonomi dunia, tapi mutu pencapaian lulusan tinggi kolej dan universiti kita semakin kurang dibanding dengan negara-negara yang dahulunya terkebelakang dari negara kita.

"Ini perlu dipandang serius kerajaan dan rakyat semuanya," katanya. – 15 November, 2014.


No comments:

Post a Comment