patut malu — Utusan Malaysia
MAC 10 — Gambar Juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2010 menjadi hiasan halaman 1 Utusan Malaysia Sabtu 6 Mac lalu. Di halaman 2 pula, disiarkan tajuk besar petikan ucapan Datuk Seri Najib Razak supaya bahasa Melayu dimartabatkan dan diketengahkan ke peringkat dunia.
Tidak cukup dengan dua halaman itu, di halaman 3 juga turut dimuatkan gambar dan laporan PABM hampir satu muka penuh. Terima kasih Utusan Malaysia kerana sokongan dan usaha berterusan mendaulatkan bahasa Melayu.
Ibarat ‘perahu sudah di air, dan dayung sudah di tangan’. Apa lagi agaknya yang ditunggu oleh rakyat Malaysia yang masih sangsi akan kemampuan bahasa Melayu dan dasar pragmatik kerajaan membawa bahasa Melayu mengharungi arus globalisasi.
PABM edisi keempat menghimpunkan 56 peserta dari 51 negara mulai 2 Mac lalu. Jika menyebut nama negara-negara seperti Belanda dan Australia mungkin tidaklah begitu mengejutkan dari segi kebolehan dan minat mereka mempelajari bahasa Melayu.
Tetapi apabila dibariskan para peserta dari negara-negara seperti Amerika Syarikat, Itali, Bulgaria, Poland, Slovakia, Ukraine, Belarus, Turki, Jepun, Korea dan beberapa yang lain, tidakkah itu boleh mencetuskan kecemburuan dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak endah untuk menguasai bahasa kebangsaan sendiri?
Mengapakah masih ada rakyat Malaysia yang tidak yakin dengan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mampu menjadi bahasa antarabangsa? Selama dua minggu pertama bulan Mac ini, para peserta pidato dari negara-negara tersebut berkampung di Malaysia sambil memperlihatkan kebolehan mereka berbahasa Melayu. Mereka mempelajari bahasa itu di negara kelahiran mereka bukannya di sini.
Lebih jauh lagi, ada juga dalam kalangan peserta edisi terdahulu yang berusaha untuk mendalami ilmu berbahasa Melayu dengan menyambung pengajian di negara ini seperti yang dilakukan oleh Juara PABM 2007 dari Rusia, Olga Vasilevskaya.
Isu dan cabaran sebenar dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah sikap rakyat Malaysia sendiri.
Alasan lain seperti tuntutan globalisasi hanyalah menjadi ‘kambing hitam’ sahaja untuk menutup kelemahan dan sikap tidak peduli diri sendiri terhadap bahasa itu. Jika mahu seribu daya, jika tidak, seribu dalih.
Bersusah payah rakyat asing yang secara tradisinya tidak ada kena mengena dengan sosiobudaya, sosioekonomi atau sosiopolitik dengan kita mempelajari bahasa Melayu, tetapi ada sebahagian rakyat kita yang asyik tersasul apabila berbahasa Melayu. Ramai lagi yang masih malu menggunakannya kerana terasa kekampungan dan tidak canggih.
Lebih menghairankan lagi ada sekelompok masyarakat yang berusaha untuk memartabatkan bahasa asal nenek moyang mereka walaupun dalam masa yang sama berjuang menuntut kesamaan taraf dengan masyarakat keturunan pribumi. Tidakkah mereka berasa malu?
Sekali lagi ditegaskan bahawa ini adalah krisis sikap. Salah satu cara mengubahnya ialah melalui kepemimpinan melalui teladan. Para pemimpin wajib menunjukkan contoh dan sikap yang betul jika mereka ikhlas menyahut saranan Perdana Menteri itu.
Biasa-biasakanlah berbual dengan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Datuk Seri Ong Tee Kiat, Datuk Seri Chua Soi Lek atau dengan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Rakyat pula perlu menjadikan para pemimpin tersebut sebagai idola jika benar-benar ingin berbahasa Melayu dengan fasih dan berkeyakinan tinggi. Mereka sudah menjelajah dunia, tetapi tetap berpegang kepada falsafah ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Pekerja asing dari Bangladesh juga sudah menghayati falsafah ini!
Marilah sama-sama kita layari lautan globalisasi dalam bahtera 1Malaysia dengan membawa bersama bahasa kebangsaan kita. Jangan sampai nanti, tatkala singgah di mana-mana pelabuhan antarabangsa, kita disapa dalam bahasa Melayu sedangkan kita sendiri terkial-kial menyahutnya. — Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment