Tuesday, March 2, 2010

PENGORBANAN GURU TIDAK DIHARGAI........

Masalah Bumbung Flat Guru Bocor di Tenom

TENOM: Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemabong merayu agar Kementerian Pelajaran mengatasi masalah kebocoran bumbung flat guru sekolah itu.

Yang Dipertua PIBG SMK Kemabong Sukimin Rukini berkata, kebocoran bumbung flat guru itu menyebabkan tingkat 4, tiga blok bangunan itu terpaksa dikosongkan lebih tiga tahun yang lalu.

Berikutan keadaan itu katanya, ramai guru terpaksa menyewa rumah kerana 12 unit (lot) di tingkat 4, tiga blok bangunan itu tidak boleh dihuni kerana basah apabila hujan.

“Kerana simpati dengan masalah yang dihadapi oleh sebahagian guru di sekolah ini, PIBG merayu Kementerian Pelajaran agar menangani masalah ini dan memberi keutamaan kerana ia amat mendesak,” kata Sukimin.

Menurut Sukimin masalah itu telah dikemukakan oleh pihak sekolah kepada Jabatan Pelajaran dan Kementerian Pelajaran tetapi tidak diambil perhatian menyebabkan keadaan bangunan itu semakin usang.

“Kita tidak menuding jari kepada sesiapa berhubung masalah yang sudah berlarutan ini tetapi apa yang penting Kementerian Pelajaran perlu melihatnya dan bertindak segera mengatasinya,” jelas Sukimin.

Sukimin yang juga Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Kemabong berkata, masalah itu perlu diatasi segera untuk keselesaan guru-guru.

Selain masalah kebocoran bumbung di tiga blok flat guru itu, bekalan elektrik melalui kabel bawah tanah di sebuah blok flat guru itu terputus.

Masalah itu juga sudah sekian lama dikemukakan kepada pihak yang berkenaan tetapi ia tidak ditangani dengan lebih serius.

Bagi mengatasi masalah itu kata Sukimin, guru-guru yang menghuni flat itu terpaksa membuat sambungan tenaga elektrik di bangunan sekolah yang sepatutnya tidak dibenarkan.

“Memang cara penyambungan itu menyalahi perundangan tetapi “apa boleh buat” itulah satu-satunya cara mengatasi masalah bekalan elektrik penghuni satu blok flat guru itu. Jika tidak bangunan itu terpaksa dikosongkan” kata Sukimin.

New Sabah Times yang membuat tinjuan di tingkat 4, flat guru itu mendapati siling bangunan rosak teruk selain lantainya dicemari dengan najis burung layang-layang dan pipit pekan yang menjadi penghuni bangunan yang dikosongkan itu.

Selain itu, keseluruhan tiga blok flat guru dan bangunan lain kelihatan sudah usang dan perlu penyelenggaraan dengan kadar segera.

Amat menyedihkan lagi, tangki air dan batang paip di seluruh bangunan itu sudah bertegar dan perlu diganti kerana ia dikhuatiri menjejaskan kesihatan penghuninya.

Guru-guru yang ditemui enggan memberi komen walaupun tidak selesa dengan keadaan itu.

Sumber : http://paingagaudem okrasimalaysia. blogspot.

No comments:

Post a Comment