Tuesday, April 13, 2010

DENGAR MACAM MENARIK CIKGU...TAPI BIASA LA........TOLONG BAGI KOMEN

Insentif menarik warga sekolah akan diumum pada Hari Guru

KANGAR 13 April – Warga sekolah iaitu para pengetua, guru besar dan guru akan menikmati insentif menarik yang bakal diumumkan kerajaan pada sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, insentif berkenaan merupakan pengiktirafan kepada mereka yang berjaya meningkatkan prestasi sekolah tanpa mengira latar belakang sekolah berkenaan.

“Berdasarkan pencapaian tahun ini dengan didokong oleh Pelan Penambahbaikan Sekolah (SIP) dan tool kit pembangunan prestasi sekolah (SIT), kita akan menilai semua ini untuk diberi pengiktirafan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perjumpaan Khas Warga Pendidikan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Perlis di Dewan Wawasan 2020 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Pengarah Pelajaran Negeri, Mansor Lat.

Muhyiddin berkata, pengiktirafan itu juga bertujuan agar tidak ada sekolah-sekolah terutama di pedalaman dan luar bandar yang berasa terasing dan terpinggir.

“Kita tidak mahu walaupun sebuah sekolah yang berasa terasing seolah-olah hanya sekolah ini (Sekolah Berprestasi Tinggi -SBT) sahaja yang diberi perhatian, sekolah lain tidak diberi perhatian,” katanya.

Menurut beliau, terdapat ruang yang ketara berhubung pencapaian sekolah di seluruh negara terutama di Sabah.

“Bukan saya hendak memperkecil-kecilkan rakan kita di Sabah tetapi saya lihat mutu pembelajaran lebih rendah berbanding negeri lain berdasarkan keputusan peperiksaan,’’ katanya.

Namun beliau berkata, setelah diteliti, keadaan tersebut berlaku bukan kerana pelajar tidak cerdik dan tidak cerdas atau guru yang tidak melaksanakan tugas tetapi disebabkan oleh prasarana yang tidak lengkap.

Justeru kata Muhyiddin, perkara penting yang harus diberi perhatian dalam tahun-tahun akan datang ialah untuk merapatkan jurang perbezaan secara beransur-ansur.

“Mungkin tidak secara drastik tetapi satu peratus sehingga lima peratus setiap tahun,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi meningkatkan prestasi sukan, sebuah sekolah sukan akan dibina di Perlis dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Katanya, tapak bagi projek pembinaan sekolah itu telah disediakan dan beliau berharap ia dapat dilaksanakan demi kepentingan pembangunan sukan negara dan sejajar program Satu Pelajar Satu Sukan.

“Saya juga tidak mahu alasan tidak ada padang atau stadium mahupun dewan untuk menerapkan program ini kerana dahulu semua kemudahan ini tiada tetapi bidang sukan boleh maju,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment