Nuruljannah Ismail,
|
29 Dis 2012 | | | | | | | | | | | | | | | | | | | | | | | | | | | | | | |
|
Lebih kurang seminggu yang lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri
Najib Tun Razak mencadangkan kepada Perdana Menteri India untuk menerima
sejumlah guru yang mahir bahasa Inggeris dari India untuk mengajar di
negara kita. Pada dasarnya, kita melihat cadangan ini mampu mewujudkan
kerjasama yang pelbagai dan menyeluruh antara Malaysia dan India, namun
jika diteliti, masih banyak faktor yang perlu ditekuni demi untuk
merealisasikan cadangan ini. Saya di peringkat mahasiswa yang merupakan
pelajar daripada Jurusan Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia, ingin menyuarakan ketidaksetujuan terhadap cadangan ini atas
beberapa hujah.
Hujah saya yang pertama ialah, lambakan graduan Ijazah Sarjana Muda
Pendidikan (ISMP) yang masih menganggur dan masih menunggu untuk
ditempatkan ke sekolah-sekolah untuk mengajar. Tambahan lagi, baru-baru
ini Gerakan Gabungan ISMP mengeluarkan kenyataan bahawa mereka turut
menghadapi kesukaran untuk diterima di sektor swasta. Justeru, jika
melihat kepada situasi ketika ini, amatlah mustahil untuk kita membawa
masuk guru dari India, sedangkan masih ramai lagi graduan ISMP yang
terkontang-kanting menunggu panggilan penempatan ke sekolah-sekolah.
Cadangan ini seolah-olah menyempitkan peluang graduan ISMP terutamanya
daripada jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL)
untuk mendapatkan pekerjaan. Seterusnya, ia akan memburukkan lagi
masalah pengangguran dalam kalangan graduan ISMP. Terdengar juga ura-ura
bahawa pengambilan mahasiswa ISMP akan dihentikan buat sementara waktu
bermula tahun hadapan kerana peluang pekerjaan yang tersedia tidak mampu
menampung graduan ISMP yang sedia ada. Lantas, satu pertanyaan di sini,
adakah berbaloi jika pengambilan mahasiswa dihentikan untuk mengatasi
masalah pengangguran dan pada masa yang sama kita mengimport masuk
guru-guru dari India?
Hujah saya yang kedua ialah, kita sudah mempunyai graduan dari
jurusan TESL untuk mengajar dalam bahasa Inggeris. Bahkan, sehingga
kini, masih ada ribuan mahasiswa di seluruh Malaysia yang sedang
mengikuti kursus TESL dan dijangka akan menamatkan pengajian antara
tahun 2013 hingga 2016. Jika diperhati keadaan ini, saya yakin negara
kita tidak akan ketandusan guru-guru bahasa Inggeris untuk mengajar
anak-anak watan. Atas dasar apa kami diberi latihan selama empat tahun
sekiranya peluang untuk mengajar diberikan kepada mereka yang bukan
warganegara? Saya yakin dengan kompetensi mahasiswa dan juga graduan
TESL di Malaysia kerana proses untuk menjadi mahasiswa ISMP bukan mudah.
Untuk mengambil jurusan TESL, kami harus memperoleh sekurang-kurangnya
band 4 dalam Malaysian University English Test (MUET). Setelah melepasi
ujian tersebut, kami menduduki pula Malaysian Educators Selection Inventory (MEdSI)
dan seterusnya kami melalui proses temuduga. Dengan tapisan sebegini,
adakah kerajaan masih belum yakin dengan kemampuan kami mengajar anak
watan kami sendiri?
Hujah saya yang ketiga ialah dari sudut ekonomi. Kemasukan guru-guru
dari India tidak dapat tidak memerlukan kerajaan untuk melaburkan
sejumlah wang yang agak besar yang merangkumi kos yang pelbagai. Kita
melihat situasi ini dari sudut kemaslahatan umum. Adakah pengambilan
guru-guru dari India merupakan satu keperluan sehinggakan kita rasa
berbaloi untuk melaburkan ke arah itu? Atau adakah dengan jumlah dan
kualiti guru bahasa Inggeris di Malaysia masih mampu menyediakan servis
pengajaran yang terbaik dan dengan ini kerajaan tidak perlu melaburkan
banyak wang untuk menampung guru-guru di Malaysia? Saya memilih opsi
yang kedua. Saya masih yakin dengan kebolehan dan kompetensi guru-guru
bahasa Inggeris di Malaysia untuk mengajar, kerana dengan adanya saya
disini pada hari ini adalah dengan hasil tunjuk ajar mereka. Justeru,
lebih wajar kiranya jika wang kerajaan digunakan dan diperuntukkan untuk
memperkasakan guru-guru bahasa Inggeris di Malaysia. Tambahan lagi,
ketika ini kita sudah mempunyai 75 orang guru dari Amerika Syarikat
untuk mengajar di Malaysia. Jadi, saya percaya, kita tidak perlu lagi
menokok tambah bilangan guru import yang sedia ada, kerana ia akan
meningkatkan kos yang perlu ditanggung kerajaan.
Saya menyokong penuh saranan Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan
(NUTP) untuk kerajaan membuat kajian dengan lebih mendalam terhadap isu
ini dan juga mengadakan perbincangan dengan professor bahasa Inggeris di
Malaysia. Semoga dengan perbincangan tersebut, dapat menghasilkan
keputusan yang menguntungkan negara. Saya juga tidak sebulatnya menolak
cadangan ini. Jika kerajaan mampu memberi sebab yang memuaskan bukan
sekadar untuk membina hubungan, saya dan juga mahasiswa lain mungkin
akan mempertimbangkan cadangan ini. Namun, untuk masa ini, saya tetap
dengan pendirian saya untuk tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Penulis ialah Majlis Perwakilan Pelajar UIAM.