Wednesday, June 4, 2014

Guru ada hak sokong parti pilihan mereka, kata NGO

Guru ada hak sokong parti pilihan mereka, kata NGO


Kumpulan pendidik tidak bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang menyeru guru menyertai politik di bawah Barisan Nasional. Gambar fail The Malaysian Insider.Kumpulan pendidik tidak bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang menyeru guru menyertai politik di bawah Barisan Nasional. Gambar fail The Malaysian Insider.

























Guru tidak sepatutnya dipaksa untuk hanya menyertai Barisan Nasional (BN) tetapi sebaliknya perlu diberi kebebasan untuk menggunakan hak mereka sebagai warganegara untuk menyokong mana-mana parti politik yang mereka pilih, kata kumpulan pendidik, hari ini.


Mereka berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyeru guru kembali kepada politik di bawah sayap BN selepas mengakui tindakan melarang guru menyertai politik sebelum ini adalah satu kesilapan.


Kumpulan pendidikan, termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyambut baik cadangan membenarkan guru menyertai politik, tetapi mengkritik tindakan Tengku Adnan itu dan berkata mereka mempunyai hak untuk memilih mana-mana parti politik yang mereka mahu.


“Guru sama seperti rakyat lain dalam negara. Seperti profesional lain, mereka mempunyai pendapat politik juga.
  “Mereka patut diberi kebebasan untuk menggunakan hak masing-masing,” kata Presiden NUTP, Hashim Adnan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata kenyataan Tengku Adnan itu dilihat sebagai langkah untuk menggunakan guru bagi kepentingan politik sempit dan bagi mempolitikkan pendidikan.

“Kenyataan Tengku Adnan tidak lebih daripada untuk membuat guru sebagai ahli propaganda Umno-BN. Ini adalah perkembangan tidak sihat untuk masa depan pendidikan negara, dan ia bertentangan dengan asas falsafah serta Pelan Pembangunan Pendidikan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Suara Guru Masyarakat Malaysia, Mohd Nor Izzat Mohd Johari, berkata Malaysia pada dasarnya adalah negara yang mengamalkan demokrasi tetapi realitinya, ia tidak begitu.

“Kita lihat banyak bentuk sekatan terutama membabitkan politik dan guru, jika seseorang itu bergerak walau hanya jauh sedikit daripada BN,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Perkara ini sudah lama berlaku, bila ada guru menunjukkan minat dalam politik yang bukan BN, mereka akan dipindahkan serta-merta,” katanya.

Nor Izzat, yang juga pernah menjadi mangsa dipindahkan selepas menentang Putrajaya berhubung sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), mendakwa kerajaan kini bimbang kerana semakin ramai guru kelihatan seperti menyokong pembangkang.

“JIka kerajaan lebih terbuka mengenai perkara ini, saya pasti guru akan kembali menyokong mereka tetapi dengan semua sekatan ini, kami sudah bosan,” katanya.

Pada Februari, Nor Izzat dipindahkan ke sekolah luar bandar di Pahang, kira-kira 80km daripada sekolah tempatnya mengajar di Jerantut, selepas merancang mengadakan perhimpunan untuk membantah pelaksanaan PBS.

Gagal dalam rayuannya membatalkan perintah pemindahan itu, Nor Izzat kini mengajar di sekolah baru, berulang-alik hampir 200km setiap hari dari rumahnya.

Beliau juga mengkritik Kementerian Pendidikan yang menggunakan kuasa sama terhadap seorang guru yang diarahkan menutup laman Facebooknya selepas beliau meletakkan poster kempen calon DAP di Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud.

“Ini perkara yang sama. Ia adalah persekitaran yang tidak sihat. Apa yang mereka lakukan sekarang tidak akan membuat guru menyokong mereka.

“Kami juga sebagai warganegara mahu kebebasan untuk memilih parti politik mana untuk disokong dan kami marah kerana tidak diberi kebebasan itu,” katanya.

Semalam dilaporkan, pegawai peringkat tinggi dalam Kementerian Pendidikan menghubungi guru berkenaan sejak minggu lalu, “menasihatkan” beliau untuk memadam gambar Dyana Sofya yang diletak di akaun Facebook kerana ia dilihat sebagai “anti kerajaan”.

Guru itu memberita satu portal berita, seorang pegawai khas ketua pengarah Kementerian Pendidikan memberitahunya supaya menutup laman Facebooknya dan dia sedang “diperhatikan”.

Sementara itu, Hashim berkata, guru dibenarkan menyertai politik adalah tindakan yang baik, namun, pendidik perlu memastikan mereka tidak membawa pandangan politik masing-masing ke dalam bilik darjah.

“Bagus jika mereka mahu menyertai politik. Tetapi mereka perlu tahu bagaimana untuk membahagikan masa mereka dan perhatian. Bilik darjah tidak boleh dikaitkan dengan politik.

“Mereka tidak boleh membawa masuk politik ke dalam bilik darjah dan mempengaruhi pelajar. Mereka juga perlu menjamin idea politik mereka tidak disebarkan kepada pelajar yang boleh menyebabkan kebencian di kalangan mereka,” katanya. – 4 Jun, 2014.