Saturday, November 7, 2009

BUKAN BERBALAH BERBINCANG.KERAJAAN PATUT ADAKAN PERBINCANGAN DARI MASA KE SEMASA.

Henti berbalah isu pendidikan - PM


Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIApengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 6 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, beliau tidak mahu melihat wujudnya perbalahan dalam masyarakat terhadap isu sistem pendidikan negara yang dianggap sensitif kepada rakyat Malaysia.


Perdana Menteri berkata, ini kerana hasrat murni kerajaan melaksanakan sesuatu dasar boleh menjadi tidak bermakna langsung jika semua rakyat tidak bersedia menerima dan mengamalkannya.
"Ketika masyarakat masih mempunyai perasaan bertentangan dan agak keberatan membuat keputusan bersama itu, saya tidak ingin ada perbalahan yang timbul dalam masyarakat kita kerana perkara yang sangat sensitif ini," katanya di dalam blog www.1Malaysia.com.my.
Najib mengulas mengenai cadangan melaksanakan sistem sekolah satu aliran yang sebelum ini menerima pelbagai reaksi berbeza daripada banyak pihak.


Beliau berkata, sistem pendidikan negara akan bertukar kepada sekolah satu aliran hanya apabila rakyat bersedia dan hanya jika ia dikehendaki oleh semua pihak.


Katanya, walau ke mana sahaja arah perbahasan mengenai isu tersebut, kenyataan yang perlu diterima semua pihak adalah sistem pendidikan negara telah digubal dari sudut pandangan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk memilih pendidikan mereka di negara ini.
Menurutnya, ia merupakan satu harapan kepada rakyat selepas negara merdeka dan kerajaan yang memerintah telah pun mengambil tindakan berhubung apa yang menjadi hasrat semua rakyat itu.
"Sejak sekian lama dan hampir dalam setiap keadaan, isu berkaitan dengan sistem pendidikan yang ideal sentiasa dipolitikkan.
"Sebagai Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia, saya berpandangan bahawa kita semua mesti mencari keseimbangan.
"Marilah kita sama-sama beringat bahawa pada akhirnya, isunya adalah untuk memastikan supaya masa hadapan generasi kita, kepimpinan masa hadapan kita, berupaya mendapat pendidikan yang terbaik," katanya.


Kata Perdana Menteri, beliau telah mendengar ramai yang mahukan pertukaran kepada sistem sekolah satu aliran sebagai satu cara meningkatkan perpaduan dan integrasi di kalangan rakyat.
"Saya juga ada mendengar ramai yang begitu bertegas akan hak untuk memilih berdasarkan sistem pendidikan sekarang. Saya telah mendengar kedua-dua pendapat yang berbeza ini dan menerimanya," katanya.


Justeru, katanya, semua pihak perlu secara bersama-sama bersetuju akan satu sistem yang memberi kebaikan kepada semua rakyat dan mendukung nilai-nilai yang dijunjung.
"Sudahkah kita bersedia untuk menjauhkan diri daripada hak untuk memilih dan berkompromi?
"Dalam menyampaikan sudut pandangan kita, sudahkah kita memikirkan tentang pandangan-pandangan lain yang berbeza itu?" katanya.

No comments:

Post a Comment