Hingga akhir hayat
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
2010/10/09
KUALA LUMPUR: Kira-kira 1.7 juta penjawat awam termasuk 590,000 pesara kerajaan akan menikmati pelbagai kemudahan kesihatan seperti alat sokongan perubatan percuma sama seperti dinikmati kakitangan swasta yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) apabila Yayasan CUEPACS ditubuhkan hujung tahun ini.
“Setiap orang akan dilindungi termasuk pesara sehingga ke akhir hayat. Contohnya, kes anggota JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) disimbah asid di Pulau Pinang, apa yang dia dapat... tak ada apa-apa. Kalau meninggal pun, mereka cuma dapat RM1,000.
“Melalui yayasan, kita akan daftarkan mereka dengan insurans. Kita akan tetapkan jumlah insurans mengikut kemampuan mereka,” katanya pada sidang media semalam.
Ketika ini, sesetengah penjawat awam membeli insurans individu tetapi melalui cadangan baru ini, mereka boleh memilih skim insurans di bawah konsortium berkenaan mengikut kemampuan dengan jumlah caruman minimum RM12 sebulan secara potongan gaji.
Melaluinya, mereka tidak perlu lagi membayar kos tambahan untuk mendapatkan peralatan perubatan yang tidak disediakan seperti kerusi roda, tongkat, alat bantu dengar dan anggota palsu. Ketika ini, mereka hanya menerima rawatan perubatan.
Ditanya ada sesetengah penjawat awam yang diluluskan tuntutan bagi kos tambahan itu, Omar menjelaskan, ia tidak termasuk dalam pekeliling, tetapi dibenarkan atas budi bicara ketua jabatan menggunakan peruntukan subsidi.
“Melalui skim baru ini, mereka sebenarnya mencarum dan menyimpan kerana sebahagian nilai caruman itu boleh dikeluarkan selepas bersara,” katanya.
Keputusan menubuhkan yayasan yang akan bertanggungjawab mencari dana serta menjaga kebajikan ahli dicapai sebulat suara pada mesyuarat khas CUEPACS yang bermesyuarat selama tiga jam, semalam.
Pembentangan usul penuh penubuhan itu termasuk majlis menandatangani perjanjian persefahaman dengan beberapa pihak terbabit akan dilaksanakan ketika mesyuarat tahunan di Pahang, Disember ini.
Selain itu, mesyuarat hari ini juga memutuskan untuk membuat tuntutan bonus dua bulan, Imbuhan Tetap Perumahan dan kajian semula sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) serta memberikan kemudahan pinjaman pendidikan menerusi Yayasan itu.
Sementara itu, katanya, CUEPACS juga akan meminta kerajaan membela nasib 50,000 penjawat awam kontrak yang bakal kehilangan pekerjaan berikutan kebanyakan ketua jabatan tidak menyambung kontrak mereka dengan alasan kurang peruntukan.
Omar berkata, ketika ini semua jabatan sudah mengemukakan cadangan perbelanjaan tahun depan dan kebanyakannya mengambil tindakan drastik dengan menamatkan pekerja berstatus kontrak.
“Ada penjawat awam yang sudah terima surat tamat kontrak. Sesetengah mereka sudah berkhidmat antara 15 hingga 23 tahun manakala sebahagian lagi berusia antara 24 hingga 37 tahun.
“Kalau tak dapat diserap sebagai kakitangan tetap, kekalkan saja mereka secara kontrak sehingga usia 58 tahun, asalkan ada caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja),” katanya.
No comments:
Post a Comment