Saturday, October 23, 2010

NUTP desak isu guru perlu kerja hari Sabtu dikaji semula


October 23, 2010

KANGAR, 23 Okt – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini meminta Kementerian Pelajaran agar meneliti isu guru yang terpaksa bekerja pada hari Sabtu dengan menghadiri pelbagai kegiatan termasuk kelas tambahan.

Presidennya Hashim Adnan berkata buat masa ini semakin ramai guru terpaksa mengorbankan hari rehat tersebut yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga kerana tugas-tugas berkenaan.

“Sewajarnya perkara ini diteliti kerana ia juga menjadikan beban tugas guru semakin bertambah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco NUTP di sini.

Selain itu, Hashim berkata NUTP juga meminta kementerian agar memberi pendedahan secukupnya mengenai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) kepada kira-kira 10,000 guru sekolah rendah di negara ini sebelum dilaksanakan tahun depan.

Beliau berkata perkara itu perlu memandangkan rata-rata guru belum memahami KSSR yang akan menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) tersebut.

“Bagi memastikan pelaksanaan KSSR berkesan, para guru harus diberi pendedahan yang secukupnya kerana kurikulum tersebut menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran,” kata beliau.

Mengulas isu berkaitan, Hashim berkata NUTP juga akan menghantar permohonan kepada Kementerian Pelajaran agar meneliti pengurusan kewangan Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Perguruan (PSKPP).

Beliau berkata ini kerana sehingga kini tidak ada satu laporan yang jelas mengenai pengurusan kewangan persatuan tersebut yang diletakkan di bawah Jabatan Pelajaran negeri.

Katanya NUTP juga menerima aduan daripada para guru yang dipaksa membayar yuran antara RM3 dan RM5 setahun oleh persatuan tersebut walaupun ia sebenarnya tidak wajib.

“Guru tak boleh dipaksa bayaran yuran. Jabatan Pelajaran tak ada hak (memaksa guru). Ini sukarela,” katanya.

Hashim turut menegur tindakan Jabatan Pelajaran daerah di sebuah negeri yang bertindak di luar batas profesional apabila mengedarkan senarai nama guru dan butiran peribadi mereka termasuk gaji, kepada sekolah tempat guru terbabit mengajar untuk menuntut tunggakan yuran PSKPP. – Bernama

No comments:

Post a Comment