Terdapat pelbagai isu yang masih berterusan mengenai proses pertukaran guru ini. Namun fokus tulisan bukan untuk menyentuh isu kelemahan sistem pertukaran tersebut.
Bagi permohonan kali ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui menterinya, Mary Yap Kain Ching selakuTimbalan Menteri Pendidikan I, berulangkali mengeluarkan kenyataan untuk menambahbaik proses permohonan. Antara lain adalah untuk mengkaji semula pertukaran guru yang sudah berkahwin bagi mendekatkan guru yang berjauhan ini dengan pasangan masing-masing seperti disiarkan di akhbar. (Boleh baca di sini dan di sini).
Namun, keputusan bagi rayuan tersebut tidak pula dinyatakan oleh KPM. Lantas, tulisan ini ditulis di tengah-tengah perjalanan proses rayuan tersebut berjalan. Saya menulis ini adalah untuk meminta KPM menilai rayuan yang dibuat dengan sewajarnya, terutamanya bagi guru dari Sarawak dan Sabah yang berkahwin untuk pulang bersama dengan keluarga atau pulang ke semenanjung, setidaknya.
Saya amat yakin, guru yang senasib dengan saya (yang berada di Sarawak dan Sarawak) sangat berharap dapat pulang ke Semenanjung. Jika pun tidak dapat ke negeri yang dipohon, dapat berpindah ke mana-mana negeri di semenanjung pun sudah dianggap sebagai satu kelegaan bagi kami.
Sekali lagi saya perjelaskan di sini, tulisan ini adalah untuk perhatian KPM supaya menilai rayuan yang dibuat dengan teliti dan adil. Tidak seperti proses rayuan seperti sebelum ini (Saya telah dua kali membuat rayuan namun KPM seperti bertindak seperti melepas batuk di tangga; dan tulisan ini tidak akan membincangkan hal tersebut).
Akhir sekali, letakkan situasi ini di bahu anda.
Bagaimana perasaan kita jika perkara ini berlaku kepada diri kita sendiri? Bagaimanakah perasaan dan kesusahan isteri yang berjauhan daripada suami dan terpisah daripada anak-anak?
Dan saya, meminta hak saya untuk mendapat keadilan. – 16 Disember, 2013.
* Penulis ialah guru di SMK St Elizabeth, Sibu.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment