Monday, February 1, 2010
YANG MANA SATU PUN PENING
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada SMS “SUANPIT:BHA27484”, dalam akhbar Berita Harian bertarikh 27 Januari 2010 (Apa sudah jadi kepada Sekolah Kluster yang disenaraikan beberapa tahun lalu?).
SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN (SKK) ialah sekolah yang cemerlang dalam klusternya dari aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Pada konsepnya, Sekolah Kluster Kecemerlangan ialah sekolah yang cemerlang dalam kelompoknya, yang dapat melahirkan murid yang menyeluruh dalam aspek akademik, kokurikulum, sahsiah dan penampilan diri serta pengurusan sekolah. Sekolah ini juga mempunyai bidang kebitaraan (niche area) yang menggambarkan watak sekolah selaras dengan Teras Strategik Ke-6 dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).
SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI (SBT) ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan. Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa dan menjadi sekolah pilihan utama. Rumusnya, sekolah yang diiktiraf sebagai SBT ialah sekolah yang terbaik di Malaysia, dipilih mengikut keperluan, berupaya untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
RASIONAL pewujudan SKK adalah untuk mengenal pasti dan mewujudkan pusat kecemerlangan dengan kebitaraan tertentu, manakala SBT pula diwujudkan atas rasional untuk mengenal pasti dan mewujudkan sekolah- sekolah di Malaysia yang kompetatif di peringkat antarabangsa.
Sehingga kini telah wujud 120 buah SKK di seluruh negara. SKK sudah berada pada Fasa 3 dan sedang melangkah ke Fasa 4 untuk meneruskan kesinambungannya.
Walaupun pencalonan SBT terbuka kepada semua jenis sekolah yang ada di negara ini, ternyata 16 daripada 20 buah sekolah yang menerima pengiktirafan sebagai SBT pada tahun 2010, telah dinobatkan sebagai sekolah kluster kecemerlangan sama ada pada Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3. Kolej Tuanku Kurshiah (TKC) contohnya, akan mewakili negara dalam Pertandingan Wind Orchestra Dunia di Beijing pada bulan September 2010 dan mewakili Malaysia dalam Pertandingan Rekacipta dan Inovasi Ke Amerika Syarikat pada tahun ini. The Malay College Kuala Kangsar, berjaya menganjurkan program World Youth Summit, Sekolah Dato’ Abdul Razak akan mewakili Malaysia dalam Pertandingan F1 In School di Singapura dan Kejohanan Rugbi Cobra 10-CIMB di Australia pada tahun ini. Manakala Sekolah Sultana Asma, telah menjuarai KL World Marching Band Competition, International Marching Band, Perade (KL Word Marching Band), Gold Medal Award With Honest dan Best Horn Line (KL Marching Band) serta menerima anugerah Johan Pertandingan Pancaragam Sekolah Menengah Malaysia pada tahun 2007. Kejayaan yang dipaparkan ini cuma sebahagian sahaja, banyak lagi kejayaan lain yang telah diraih oleh SKK sehingga kini. Selain mencipta kecemerlangan dalam bidang kebitaraan masing-masing, SKK tersebut telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik dan penarafan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia antara yang menjadi kayu ukur penilaian untuk SKK dan SBT.
Sungguhpun kriteria pemilihan tidak menetapkan hanya SKK yang layak diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi, namun SKK menjadi frame work kepada SBT dalam usaha untuk terus melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan negara dan melahirkan pemimpin bertaraf dunia. Dalam maksud yang lebih jelas SKK akan bergerak seiring dengan SBT.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
28 JANUARI 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment