49,000 cicir ke sekolah bukti pendidikan negara pincang
KUALA LUMPUR 3 Jan: 49,000 kanak-kanak bertaraf warganegara dinafi Umno BN ke sekolah bukti pelaksanaan sistem pendidikan negara pincang, kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.
Menurutnya, jumlah itu lebih tinggi jika digabungkan dengan kanak-kanak di Sabah dan Sarawak.
Sikap tidak bertanggungjawab kerajaan menyebabkan mereka keciciran kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri akibat kelemahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Berdasarkan bancian dan statistik penduduk, dianggarkan lebih daripada 49,000 kanak-kanak di Semenanjung Malaysia yang dinafikan persekolahan. Angka ini menunjukkan krisis utama pendidikan di negara kita.
“Kanak-kanak ini tidak dapat ke sekolah ketika murid-murid lain mendaftar untuk sesi baru persekolahan mereka disebabkan kerana penafian sijil kelahiran atau kad pengenalan,” katanya pada kenyataan.
Tambah rumit, kanak-kanak yang tiada dokumen pengenalan diri berdepan halangan sukar untuk meneruskan persekolahan terutama dari kalangan miskin.
“Manakala kanak-kanak tanpa dokumen yang dibenarkan ke sekolah menghadapi halangan besar kerana dipaksa untuk mendaftar sebagai warga asing dan membayar yuran tambahan.
“Contohnya di Petaling Jaya, sepasang anak yatim, Hari, 12, dan Haran, 14, tidak pernah ke sekolah kerana JPN enggan mengeluarkan MyKad kepada mereka walaupun rumah perlindungannya berusaha untuk mendaftar mereka ke sekolah,” ujarnya.
Tambah Surendran, sikap membisu kerajaan itu menyalahi undang-undang kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan.
“49,000 kanak-kanak ini adalah warganegara mengikut operasi undang-undang menurut kuasa Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.
“Mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan melanggar Perlembagaan Persekutuan? Mengapa kanak-kanak dibuat untuk menderita? Najib, Menteri Pelajaran, Muhyiddin Yassin dan kerajaan mesti selesaikan krisis ini segera,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment