Saturday, November 19, 2011

Putrajaya tunduk kepada bantahan guru

Putrajaya tunduk kepada bantahan guru

E-mel Print PDF

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Ekoran bantahan keras kesatuan-kesatuan sekerja, Putrajaya membatalkan projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari yang dicadangkan untuk dilaksanakan di Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor mulai Januari depan.

Projek itu mendapat tentangan ketika Barisan Nasional membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang dijangka dipanggil dalam waktu terdekat.

Minggu lalu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan menggesa Putrajaya membatalkan sahaja projek perintis guru bertugas sembilan jam sehari atas alasan kajian itu satu tindakan membazir selain tidak mendapat maklum balas positif daripada kalangan tenaga pendidik.

Selain itu, NUTP juga mendakwa dasar baru tersebut tidak sesuai buat masa sekarang memandangkan kebanyakan sekolah kurang kemudahan selesa dan kondusif bagi guru.

Di bawah dasar baru ini, guru sebelah pagi dikehendaki berada di sekolah dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang manakala guru sebelah petang pula dikehendaki masuk sekolah 9.30 pagi dan bertugas sehngga 6.30 petang.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada kerajaan menilai dan meneliti terlebih dahulu hasil laporan kajian daripada projek yang dimulakan di Melaka.

“Kita tidak mahu perkara itu diteruskan secara perintis tanpa guru sendiri memahami tujuan di sebaliknya.

“Mungkin banyak pihak yang tidak faham apakah matlamatnya sehingga ada tanggapan bahawa ia menambah beban dan menyulitkan kerja guru atau tanggungjawab guru,” kata beliau di Labuan, Sabah.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau telah meminta Jabatan Perkhidmatan Awam tidak meneruskan kajian tersebut.

“Sebab itu, saya telah memaklumkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam agar kajian ini tidak diteruskan,” katanya mengulas reaksi pelbagai pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari diteruskan kerana menurut mereka ia amat membebankan kerja guru.

Beliau berkata tanggapan projek itu membebankan guru adalah tidak tepat kerana ia merupakan satu program yang dibuat untuk memantapkan profesion perguruan di negara ini yang diputuskan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Pengarah Pelajaran.

“Profesion perguruan ini ada keistimewaan... berlainan sedikit dengan perkhidmatan awam yang lain kerana dia guru, dia mengajar, dia mendidik dan membimbing dan masa sepenuhnya ditumpukan di bilik darjah, di luar darjah dan kawasan rumah kampung pun guru berperanan,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata rakyat dan juga guru tidak perlu risau kerana kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan semua pihak terutama daripada kewajaran untuk meneruskan projek itu.

- Malaysian Insider

Berkaitan:

No comments:

Post a Comment