Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata keputusan untuk menerima atau menolak SBPA akan diputuskan oleh 135 ahli persatuan gabungan CUEPACS dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang akan menghadiri kongres penuh di Hotel Brasmana, Kuala Perlis.
"Kongres ini khusus membincangkan SBPA kerana taklimat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada kami hanya menyentuh perkara dasar. Kami juga tiada maklumat tambahan selain pekeliling yang diedarkan," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada anggota-anggota CUEPACS negeri Kedah di Sungai Petani, hari ini.
Katanya, tempoh dari 16 hingga 30 Disember ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk menandatangani surat tawaran SBPA juga terlalu singkat.
Beliau berkata, CUEPACS meminta anggotanya tidak menandatangani surat tawaran JPA sehingga mereka berpuas hati dan memahami sepenuhnya SBPA.
"Pada pengetahuan kami tawaran JPA melalui SBPA seolah-olah penjawat awam tiada pilihan. Macam mana kita hendak setuju terima jika kandungan penuh tawaran tersebut tidak jelas," kata Omar.
Katanya, hasil taklimat CUEPACS dalam jelajahnya ke sembilan buah negeri sehingga hari ini menyatakan anggota mereka tidak memahami dengan jelas SBPA.
Antara perkara utama dibangkitkan mereka ialah prestasi bagi yang mendapat markah tinggi adakah benar akan mendapat apa yang dijanjikan dan kesannya kepada yang mendapat markah kurang dari 70, tambahnya.
Omar berkata, CUEPACS akan meminta JPA menyertainya dalam jelajah ke seluruh negara memberi penerangan kepada penjawat awam mengenai SBPA.
Katanya, keputusan penting lain termasuk meminta JPA melanjutkan tempoh menandatangani surat tawaran SBPA juga akan diputuskan esok.
- Bernama
No comments:
Post a Comment