Tuesday, December 6, 2011

PPSMI: Bukti Umno Bela Bahasa Melayu Hanya Retorik

SHAH ALAM, 7 DIS : Kelantangan Umno sebagai perjuang Melayu di perhimpunan Agung parti itu baharu-baharu ini seharusnya dibuktikan dengan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Setiusaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Suhaizan Kayat berkata walaupun pelbagai usaha dan perbincangan dilakukan untuk memansuhkan PPSMI, namun Kerajaan Persekutuan sehingga kini tidak konsisten dengan pendiriannya berhubung pemansuhan PPSMI.

"Kita memberi beberapa penekanan dengan reaksi flip-flop kerajaan yang bertindak tidak konsisten, ini disusuli dengan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) yang memberi tekanan kepada Kerajaan Persekutuan.

"Perubahan pendirian kerajaan ini jelas tidak konsisten, perkara ini amat mengecewakan kami,"jelas Suhaizan.

Kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan bersetuju memansuhkan PPSMI pada 2016 di peringkat sekolah rendah dan 2021 pada sekolah menengah merupakan tiada kesungguhan kerajaan memperjuangkan kedaulatan bahasa melayu.

Manakala Mahyuddin ketika menyampaikan ucapan di perhimpunan Agung Umno baru-baru ini di atas tajuk ' 'Ketuanan Melayu'tetapi dalam masa yang sama membelakangkan bahasa rasmi negara dalam sistem pendidikan adalah bukti Umno tidak ikhlas dalam memperjuangkan hak orang melayu.

Demontrasi besar-besar membantah PPSMI yang dianjur GMP pada 7 Mac 2009 disertai lebih 70,000 rakyat yang kemudiannya memaksa kerajaan bersetuju berunding bagi memansuhkan PPSMI.

Muhyuddin kemudiannya berjanji kerajaan akan memansuhkannya pada 2012 tetapi ternyata tipu muslihat pemimpin Umno tersebut terserlah apabil Oktober lalu beliau mengumumkan pemansuhan tersebut pada 2016 dan 2021.

PPSMI bermula ketika era Dr Mahathir Mohamad pada 2003 yang menelan belanja RM5.1 billion. Keengganan kerajaan memansuhkan PPSMI kerana didakwa projek tersebut telah diberikan kepada kroni-kroni yang membabitkan kerja-kerja penterjemahan, percetakan dan pengurusan.

Suhaizan ketika dihubungi TVSelangor berkata, apa yang dikhuatiri bekas Presiden GMP, Allahyarham Dato' Dr Hassan Ahmad sebelum ini menjadi kenyataan dimana kesungguhan Kerajaan Persekutuan memansuhkan PPSMI ini dilihat amat longgar.

"Apa yang dikhuatirinya benar-benar berlaku dan kita setakat ini menunggu perkembangan seterusnya dari pihak kerajaan,"katanya.

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk melancarkan gerakan bantah PPSMI sekali lagi sekiranya kerajaan Persekutuan enggan mengotakan janji-janjinya.

GMP merupakan gabungan badan-badan bahasa, NGO dan parti-parti politik yang ditubuhkan untuk mendesak kerajaan supaya memansuhkan dasar yang diperkenalkan sejak 2003.

No comments:

Post a Comment