- Feb 12, 2014
- FUAD KASSIM
Saya berpandangan, keadaan ini berlaku akibat tiada perancangan yang jelas daripada parti pemerintah dalam hala tuju pendidikan negara. Belumpun cerita PPSMI selesai sepenuhnya, kini anak-anak kita berhadapan dengan kecelaruan PBS pula.
Sepatutnya sebelum sesuatu dasar itu ditukar atau digubal, perlu suatu kajian yang menyeluruh dan mengambil kira pelbagai aspek sebelum dilaksanakan. Kajian tersebut mestilah juga mengambil kira kemampuan tenaga pendidik yang terbabit secara langsung dalam menjayakan sesuatu dasar tersebut.
Jika kajian mendapati dasar tersebut masih belum mampu ditanggung oleh para guru, kerajaan mestilah mempersiapkan dulu mereka, kemudian baru langkah percubaan dilakukan dalam skala kecil. Semasa tempoh tersebut kajian akan dijalankan untuk mengetahui kelemahan untuk diperbaiki.
Sepatutnya kita mengambil iktibar daripada kegagalan PPSMI dahulu. Dasar tersebut dilaksanakan tanpa kajian yang secukupnya dan akibatnya menyusahkan para pelajar dan guru serta ibu bapa. Dasar setengah masak itu akhirnya gagal di tengah jalan kerana tidak memahami masalah sebenar situasi pendidikan di Malaysia.
Terkini, PBS dilaksanakan tanpa mengambilkira kemampuan guru dan keperluan teknologi semasa. Terlalu banyak perkara yang berbangkit yang tidak dapat diselesaikan akibat kegopohan kerajaan melaksanakan sistem yang belum tentu sesuai dengan keperluan semasa pendidikan Malaysia.
Ditambah pula, kegagalan sistem ini turut diakibatkan oleh sikap pemerintah yang lebih melihat populariti memperkenalkan sistem berbanding memperbaiki kelemahan sistem yang ada.
Nampak, suatu lagi “projek Barisan Nasional” akan menjadi projek “sakit” seperti PPSMI dahulu.
No comments:
Post a Comment