Dikemaskini kira kira 3 jam yang lalu · Diterbitkan pada 21 Dec 2017 8:00AM · 0 komeagi
PADA pertengahan bulan Ogos lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyenaraikan sebanyak 402 buah sekolah yang terlibat dalam kategori masalah disiplin dan penyalahgunaan dadah.
Kes yang terbaru, seorang guru yang dikenali sebagai Cikgu Azizan didakwa menggunakan kekerasan (melempang) terhadap seorang pelajar yang didapati mempunyai masalah disiplin seperti menghidu gam, membuli rakan dan ponteng sekolah.
Saya tidak berpihak kepada sesiapa dalam mengenai kes ini memandangkan ini adalah tanggungjawab bersama oleh masyarakat.
Tugas memanusiakan manusia bukan sahaja tugas seorang guru, malah ibubapa atau penjaga perlu membentuk sahsiah keperibadian pelajar dengan jayanya. Dalam sebuah buku Siri Pengurusan Pendidikan: Pendidikan dan Masyarakat yang ditulis oleh Profesor Dr. Kamarudin Haji Kachar menyatakan masyarakat pada hari ini berbeza dengan masyarakat tradisi di mana masyarakat bersikap individualistik, anak sukar dikawal malah pihak keluarga menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak mereka kepada pihak sekolah.
Profesor Dr. Muhaya, yang merupakan pakar transformasi diri, menyatakan bahawa kanak-kanak belajar daripada orang dewasa, sebab itulah seawal usia kanak-kanak lagi mesti diterapkan dengan nilai murni. Ini kerana kanak-kanak mempunyai minda bawah sedar yang terbuka luas. Apa sahaja yang ada depan mata akan diterima tanpa ada sebarang prejudis. Oleh sebab itu, kelompok dewasa harus membentuk satu persekitaran yang harmoni dan mempraktikan nilai murni untuk dijadikan sebagai satu panduan ajaran yang boleh diikuti oleh kanak-kanak.
Zaman teknologi pada hari ini bukan satu kesukaran untuk memperoleh ilmu pengetahuan, namun permasalahannya ialah apabila pendedahan yang tidak sepatutnya dilihat dan tidak dibimbing, maka kanak-kanak mudah mengikuti atas rasa ingin tahu. Secara tidak langsung, akan berlaku kehakisan moral dan nilai tradisi kekeluargaan. Berbeza dengan pendidikan tidak formal dahulu, budi bahasa masyarakat pada masa lalu begitu tinggi berbanding sekarang yang telah kehilangan kewibawaan moral.
Berdebat salah siapa tidak akan menyelesaikan isu masalah sosial dalam negara yang terjadi pada hari ini. Keruntuhan disiplin sekolah pada hari ini keruntuhan disiplin masyarakat. Mengamalkan sikap tidak peduli anak orang lain dan tidak mengambil tindakan bersama membendung masalah sosial adalah satu cerminan diri apa yang terjadi.
Jadi, bagaimanakah cara kita mengekang masalah sosial dalam negara yang bakal berlaku pada generasi muda kelak nanti?
Kedua-dua peranan mempunyai nilai yang tersendiri, baik guru mahupun ibubapa.
Kerumitan peranan guru bukan sahaja berpunca daripada perubahan masyarakat, tetapi juga daripada perubahan-perubahan sistem pendidikan dalam negara. Guru pada hari ini bukan sahaja mendidik mengikut sukatan pelajaran dan masuk pukul 7.00 pagi dan balik pukul 2.30 petang, tetapi fungsi sekolah semakin bertambah seperti Linus (Literasi, Numerasi dan Saringan), pelaksanaan program dan kelas tambahan, menghadiri kursus di luar, membentuk kurikulum-akademik dan bukan akademik, serta menghadapi masalah disiplin yang makin lama makin meningkat dalam sekolah.
Dengan kadar nisbah seorang guru bersamaan 12 orang anak murid, atau dalam satu masa berhadapan seramai 30 pelajar, akan menyebabkan guru sukar fokus. Namun begitu, seorang guru mempunyai pengaruh tinggi dalam menentukan tindak-tanduk murid.
Cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing dalam kalangan pelajar memerlukan kesediaan pemantapan rohani kuat dan kesabaran tinggi dalam kalangan pendidik. Justeru, guru perlu sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal bagi mendepani cabaran ini. Oleh itu, guru amat disarankan memahami psikologi kanak-kanak dan harus berdamping dengan masyarakat untuk memahami sosio-ekonomi pelajar.
Pihak kerajaan seharusnya mendengar keluhan guru dan tidak seharusnya merombak secara mengejut dasar dan sistem pendidikan sedia ada. Perubahan secara mengejut menyebabkan seorang guru sukar untuk mengejar pedagogi pendidikan (kajian pengajaran) yang berkesan. Tekanan yang dialami oleh pihak sekolah bukan sahaja mengenai isu masalah disiplin tetapi pelaksanaan dasar dan sistem pendidikan yang menguji keluaran persaingan kualiti pendidikan antara sekolah juga memberi tekanan kepada guru.
Dalam membentuk sahsiah, peranan penjaga tidak harus dikecualikan. Hal ini demikian, penjaga merupakan role-model bagi anak-anak mereka. Didikan, perhatian dan kasih sayang membentuk kemanusiaan dalam diri anak-anak mereka. Anak-anak yang hidup mesra dengan ibu bapa, merasakan ibu bapa sebagai sumber ilham, pakar rujuk, dan tempat mengadu. Dalam usaha memperoleh kehidupan yang harmoni, kerjasama ibubapa amat diperlukan.
Parents and Their Children’s Schools, buku yang ditulis oleh Martin Hughes, Felicity Wikeley dan Tracia Nash, menyatakan bahawa ibubapa tidak mengetahui perkembangan pengetahuan dan mental anak-anak mereka di sekolah. Di sini, jelas membuktikan hubungan antara ibubapa dengan guru mempunyai satu kelompongan dalam membentuk pendidikan yang bersifat kemanusiaan dalam negara ini.
Maka, kebergantungan antara kedua-dua pihak ini amat penting dalam menjamin kualiti pendidikan dan keperibadian sahsiah yang tinggi. Guru bertugas untuk kemajuan dan keharmonian masyarakat, manakala ibubapa atau penjaga harus memberi sokongan kepada guru sekurang-kurangnya mengawal disiplin anak-anak di rumah. – 21 Disember, 2017.
*Akwa Mahzan merupakan graduan Universiti Tun Abdul Razak dan alumni Mahasiswa Turun Parlimen.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.