Wednesday, December 20, 2017

Badan guru gesa kod etika kawal interaksi ibu bapa di sekolah

Badan guru gesa kod etika kawal interaksi ibu bapa di sekolah

 | December 21, 2017nutp-ibu-bapa
Ia termasuk sejauh mana ibu bapa dibenarkan memasuki kawasan sekolah.
KUALA LUMPUR: Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga yang dikemukakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) harus menyeluruh supaya merangkumi aspek tatacara melawat sekolah dan interaksi bersama ibu bapa dengan guru dan pelajar, kata sebuah pertubuhan mewakili warga guru.
Presiden Guru Muda 1Malaysia, Rahmat Sholihin Mokhtar berkata kod etika itu merujuk kepada garis panduan lengkap yang menjelaskan peranan ibu bapa, guru, murid dan pihak sekolah.
“Contohnya, dahulu kebanyakan guru di sekolah lebih bertoleransi dengan memberi kelonggaran kepada ibu bapa yang mahu berjumpa anak-anak mereka di sekolah pada bila-bila masa kerana sudah menganggap mereka sebagai rakan sekolah.
“Bagaimanapun ibu bapa sekarang mengambil kesempatan atas ‘kebaikan’ itu sehingga ada kes seperti pencerobohan sekolah; ibu bapa masuk ke sekolah hingga mengganggu proses pembelajaran dan ada juga guru menerima ancaman melalui telefon,” katanya dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, NUTP mengemukakan cadangan Kod Etika Ibu Bapa/ Penjaga kepada Kementerian Pendidikan dan meminta ia dilaksanakan segera bagi melindungi kebajikan guru.
Rahmat Sholihin berkata kod etika itu penting kepada guru bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik dengan berkesan tanpa anasir negatif yang boleh merencatkan kewajipan mereka.
Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa berkata selain menyokong cadangan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga, pihaknya mahu penubuhan Suruhanjaya Pendidikan dipercepatkan bagi memperhalusi keseluruhan sistem pendidikan negara.
Beliau berkata, penubuhan itu sejajar dengan perubahan dasar pendidikan negara yang seiring berlaku dengan perubahan pimpinan di peringkat kementerian.
“Kita melihat masih ada lompong atau kelemahan dalam hala tuju pendidikan negara sekarang selepas menerima maklum balas daripada ibu bapa dan guru walaupun mempunyai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025).
“Misalnya dalam kes Cikgu Azizan tiada prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan daripada kementerian untuk menilai dan menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu sebelum kes ini dibicarakan di mahkamah,” katanya.
Azizan, guru penolong kanan hal ehwal murid SK Taman Semarak di Nilai, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun di hadapan tapak perhimpunan sekolah terbabit pada 7 pagi, 6 April lalu.
Semalam, Mahkamah Majistret Seremban membebas tanpa melepaskan beliau daripada pertuduhan tersebut.

No comments:

Post a Comment