Thursday, May 26, 2011

http://wrlr.blogspot.com/2011/05/skim-kenaikan-pangkat-perbesar-jurang.html




PETALING JAYA 26 MEI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpendapat Skim Kenaikan Pangkat yang diumumkan Perdana Menteri Najib Razak 16 Mei lalu hanya akan memperbesarkan jurang pendapatan antara guru peringkat pentadbiran dan biasa.

Ini kerana insentif yang diperkenalkan kementerian itu tidak meliputi majoriti guru-guru di negara ini sebaliknya hanya memberi kesan kepada kurang daripada dua peratus golongan tenaga pengajar senior menurut Pengerusi Biro Pendidikan PKR, Abbas Awang.

Selain menyifatkan rata-rata program kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) sebagai anti-klimaks, Abbas berkata kerajaan menyisihkan guru-guru biasa dalam program mereka.

"Guru kanan kuotanya terhad (setiap sekolah). Walaupun cemerlang mereka tidak akan naik. Sebuah sekolah ada satu pengetua dan dua penolong kanan.

"Kalau (gaji guru besar) naik dan beri imbuhan, masalah besar yang bergelumang dengan pendapatan ini adalah golongan bawah," kata beliau.

Abbas turut mendedahkan skim kenaikan pangkat yang diumumkan hanya melibatkan seramai 1,288 orang Pengetua dan tujuh ribu Penolong Kanan Sekolah Menengah dan Rendah yang terpilih.

Tambahnya, ganjaran bersifat terpilih itu hanya memberi manfaat kepada kurang dua peratus warga pendidik daripada jumlah keseluruhan golongan terbabit, berbeza dengan jaminan menaiktarafkan kebajikan keseluruhan pendidik dalam Buku Jingga dengan memberi insentif RM500 setiap seorang.

Jelas Abbas lagi, kenaikan gaji Pengetua dan guru-guru Penolong Kanan adalah tidak sekata iaitu RM190 hingga RM900 sebulan selain akan menelan kos RM80 juta setahun.

Minggu lalu, Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar golongan guru yang dikecualikan daripada skim kenaikan pangkat pada 1 Januari tahun depan supaya bersabar sementara kerajaan mencari penyelesaian untuk turut memberi imbuhan kepada mereka.

Ini susulan bantahan yang diterima daripada guru-guru bertaraf diploma yang merasa terpinggir.

Muhyiddin dalam kenyataannya memberi alasan kerajaan kini dalam proses untuk mengurangkan defisit negara selain mengambil kira kos tambahan akibat kenaikan gaji dan elaun.

Dalam sesi temubual itu, Abbas yang juga bekas Timbalan Pengarah Pelajaran Bahagian Sekolah turut menyuarakan kebimbangan terhadap bilangan tenaga pengajar di sekolah-sekolah sekitar Kuala Lumpur yang semakin berkurangan akibat kos sara hidup tinggi.

Katanya, purata sehingga enam guru yang mengajar di sekolah sekitar bandaraya itu berstatus sementara.

"Sebab kos sara hidup tinggi. Bayangkan gaji guru satu ribu lebih, rumah sewa dan kereta sudah berapa. Akhirnya mereka kata pergi ke Kuala Lumpur mereka jatuh miskin," kata beliau.

Tambah Abbas sekiranya Pakatan Rakyat diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum akan datang, fokus akan tertumpu kepada maktab-maktab perguruan dalam usaha
membentuk budaya pendidik cemerlang selain insentif RM500 yang dijanjikan.

Menurut statistik Kementerian Pelajaran Malaysia, jumlah bilangan guru setakat 31 Januari 2011 berjumlah 408,764 orang di 9,980 buah sekolah seluruh negara.

Manakala kementerian itu mencatatkan bilangan murid seramai 5,332,777 orang menjadikan purata tiga belas orang murid kepada seorang guru.

No comments:

Post a Comment