Tuesday, May 31, 2011

Selangor Kaji Jawatan Guru 'Kontrak' dan 'Sambilan'


 SHAH ALAM 31 MEI : Konflik jawatan guru 'kontrak' dan 'sambilan' dinegeri Selangor akan selesai sedikit masa lagi selepas kerajaan negeri mengumumkan akan mendapatkan beberapa jawatan tambahan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam.
Perkhabaran gembira ini diumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor 2011 dengan tema 'Guru Penjana Ganerasi Idaman'.

Menurut Khalid, perkara ini akan diuruskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Khusrin Munawi.

“Kerajaan Negeri bersetuju memberi sokongan penuh terhadap usaha mendapatkan waran jawatan tambahan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam. Saya mahu, YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor memberi perhatian utama terhadap perkara ini. Saya sedar betapa ramainya guru di negeri ini yang masih berjawatan kontrak atau sambilan dan dengan yang demikian, Kerajaan Negeri mahu mengatasi masalah ini dengan segera,” katanya.

Khalid juga memberitahu para guru Kerajaan Negeri turut terlibat dalam urusan pemberian gaji guru di bawah Jabatan Agama Islam Selangor, (JAIS) disamping bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Untuk pengetahuan, dari segi kira-kira, setiap RM1 yang diberikan untuk guru-guru dibawah JAIS hanya 30 sen daripada Kerajaan Persekutuan dan 70 sen daripada Kerajaan Negeri,” katanya.
Pada tahun ini, kerajaan negeri meluluskan RM300 tambahan elaun kepada semua guru KAFA Integrasi yang bertugas di Semua Sekolah Rendah Agama di Negeri Selangor. Penambahan ini menjadikan jumlah elaun bulanan bagi kumpulan ini sebanyak RM 1,300.

Beliau menambah, segala peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri dan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan digunakan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran disamping mengadakan program- program peningkatan kerjaya untuk guru.

Dalam majlis yang sama, Tan Sri Khalid menyerahkan replika cek dari lembaga Zakat Selangor berjumlah hampir RM47 Juta. Sebanyak RM26 Juta diserahkan kepada sumbangan bayaran guru- guru kafa Negeri Selangor setahun dan RM12.5 Juta untuk sumbangan dermasiswa pelajar luar negara (Mesir, Jordan dan Morocco).

Sementara untuk anugerah tokoh guru terbaik bagi kategori lelaki dianugerahkan kepada Mohd Dawam Dollah @ Hj Mohd Anuar dan untuk tokoh guru wanita dianugerahkan kepada Mistijah Nordin.

Bagi anugerah Pra Sekolah terbaik dimenangi oleh Pekan Sabak Bernam, Sekolah Rendah Agama (SRA) dimenangi oleh Sijangkang Kuala Langat, Sekolah Rendah Agama Integrasi dimenangi oleh SRAI Sungai Manggis Kuala Langat, KAFAi dimenangi oleh Taman Kemuning Kuala Langat dan MITS/SAM dimenangi oleh SAMT batu 38 Sabak Bernam.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Islam, Adat- Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr. Hasan Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Marzuki Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Tuan Haji Mohamed Izam Mohamed Yusof.

No comments:

Post a Comment