MACAMANA NAK MAJU SISTEM PENDIDIKAN KALAU SEMUA SISTEM DIAMBIL DAN DIJADIKAN BAHAN KAJIAN. GURU DAN JUGA ANAK DIDIK MENJADI KAJIAN PIHAK ATASAN. MASAALAHNYA YANG MEMEGANG TAMPUK KUASA , ATAU ATAS ALASAN APA SEKALIPUN, PARA PENGKAJI SISTEM PENDIDIKAN NEGARA HARUS CELIK MATA DAN BUKAN MENDAPAT NASIHAT DARI PIHAK YANG TIDAK ADA KAITAN DENGAN SISTEM PENDIDIKAN.
TERBARU...GURU PERLU MENJAWAB SOALAN KOMPETENSI DALAM TALIAN...IDEA APA LA LAGI NI......
Tidak dapat dinafikan keputusan PRU 13 telah memperlihatkan peningkatan sokongan golongan muda kepada parti pembangkang.
Walaupun belum dapat membentuk kerajaan, pihak Pakatan Rakyat sudah
mampu tersenyum gembira kerana dalam diam, mereka telah berjaya menawan
hampir keseluruhan bandar-bandar besar dan ibu negeri di Malaysia.
Antara punca utama Barisan Nasional kehilangan banyak kerusi adalah
disebabkan generasi muda pada hari ini makin ramai yang menyokong
Pakatan Rakyat.
Golongan yang distilahkan sebagai generasi Y ini adalah golongan yang
lahir dalam era teknologi maklumat, suka berfikir dan tidak menerima
sesuatu maklumat secara membuta tuli.
Mereka tidak menerima maklumat dari sebelah pihak sahaja tetapi lebih
gemar menceduk maklumat daripada kedua-dua belah pihak menerusi internet
dan akhbar.
Oleh itu, tidak hairanlah jika Utusan Malaysia dan Harakah kedua-duanya dibeli untuk dibawa balik ke rumah, dibaca dan dikaji.
Walaupun menang, keputusan PRU baru-baru ini telah membuatkan Najib
tidur tak lena, mandi tak basah. Najib sedar kedudukannya tergugat dan
semakin terancam.
Ini kerana sungguhpun Barisan Nasional memenangi 133 kerusi Parlimen dan
menang mudah bagi membolehkan parti itu terus memerintah, tetapi
presidennya seolah-olah sedar bahawa Barisan Nasional hanya menunggu
masa untuk dimakamkan.
Atas kesedaran inilah, presidennya mengeluarkan kenyataan bahawa beliau
sedia memperbaiki kelemahan dalam pentadbirannya dan bersedia mendengar
masalah rakyat demi memastikan jentera pentadbiran Barisan Nasional
berada dalam kedudukan yang lebih selesa pada PRU 14.
Itu Najib Tun Razak.
Bagaimana pula dengan timbalannya, Muhyiddin Yassin yang masih
dikekalkan sebagai Menteri Pelajaran? Mungkin kini beliau sedang
berangan-angan di atas kerusi empuknya untuk mencipta kuasa enjin paling
tinggi supaya guru-guru dapat menjadi “Transformers” paling lasak
seiring dengan transformasi yang dilaung-laungkan.
|
optimus prime |
Bezanya, Tranformers ini tidak melawan Megatron, tetapi “Transformers”
yang ingin diciptakan Muhyiddin Yassin adalah transformers yang
makanannya adalah lambakan fail, ribuan data dan ratusan ‘evidence’ PBS
(Pentaksiran Berasaskan Sekolah).
Inilah Transformers impian Muhyiddin. Transformers yang mampu bekerja 24
jam tanpa berasa penat, tak perlu tidur, tak perlu makan dan tak perlu
berehat.
lawak politik parlimen politik kotor
Adakah Muhyiddin tahu bahawa beliau kini semakin dibenci oleh warga
pendidik lantaran ketidakpeduliannya dalam menjaga kebajikan warga guru?
Nampak bayangan Muhyiddin di kaca televisyen pun sudah cukup untuk
membuatkan tekak berasa loya dan mual.
Mana tidaknya, di bawah pentadbirannya, guru-guru pernah dicadangkan
untuk bekerja 9 jam pada tahun 2012. Pada tahun lepas juga, yang menjadi
tikus makmalnya adalah 5000 orang guru dari 104 buah sekolah di
Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak.
Sedarkah beliau para guru bekerja lebih dari 9 jam sehari termasuk waktu
yang diperuntukkan di rumah? Itu belum mengambil kira kedatangan pada
hari Sabtu dan Ahad untuk program-program sekolah, kelas tambahan,
melatih para pelajar dalam aktiviti ko-akademik (contohnya perbahasan
dan pidato), sukan (contohnya bola baling dan bola sepak) serta aktiviti
unit beruniform (contohnya kawad kaki).
|
megatron |
Bukan itu sahaja, segala penat lelah, masa, kesungguhan dan wang ringgit
ini dicurahkan dengan ikhlas demi kasih sayang kepada sekolah dan para
pelajar tanpa mendapat satu sen pun elaun ‘over time’ atau tuntutan
‘mileage’ sebagaimana kakitangan awam yang lain.
Ingatlah, kami tidak pernah meminta supaya pengorbanan dan jasa kami
dikenang. Apa yang kami minta adalah supaya orang atasan prihatin dengan
masalah yang kami hadapi. Bila kami suarakan keluhan, Muhyiddin
menjawab, “Multi tasking bukan hanya berlaku di sekolah, tetapi di
tempat lain pun berlaku ‘multi tasking’”.
Betapa kecewa dan tergurisnya hati ini. Usahkan nak berterima kasih,
jawapan yang diberikan seolah-olah golongan guru ini adalah golongan
yang berkira untuk melakukan sesuatu di luar bidang tugasan mereka.
Tetapi tahukah anda ‘selama enggang mengeram selangkas betik berbuah’
itulah yang kami lakukan saban hari? Jika dikaji baik-baik, 70 peratus
daripada tugasan yang kami laksanakan adalah tugas-tugas di luar bidang
pengajaran.
Saya, bagi pihak warga pendidik ingin menjelaskan sekali lagi, masalah
kami bukannya ‘multi tasking’ kerana dari dulu lagi guru melakukan
segala-galanya. Di sekolah, guru adalah kerani, supir (pemandu),
jururawat, ‘cleaner’, tukang kebun, tukang cat dan segala-galanya.
Kalau masih tidak percaya lihat sahajalah pada hari sukan, yang tercegat
di bawah matahari menjadi pengadil untuk pelbagai acara sukan adalah
guru dan terbongkok,-bongkok mengutip sampah bersama pelajar selepas
acara sukan juga guru.
Selain itu, guru jugalah tukang jahit maskot rumah sukan, tukang cuci
berbelas-belas baju perbarisan, tukang masak, dan segalanya-galanya.
Tetapi ini bukanlah masalahnya. Masalah kami pada hari ini adalah tugas
yang kami terpaksa laksanakan semakin bertambah dan terus bertambah di
bawah pentadbiran Muhyiddin sehingga kami sudah tidak ada masa untuk
menanda buku latihan dan kertas peperiksaan pun terpaksa ditanda ala
kadar.
Lebih teruk lagi dengan adanya PBS, guru-guru makin tidak menang tangan
sehingga terpaksa memberi latihan kepada para pelajar untuk dijawab di
rumah.
Tidak kurang juga guru yang memberikan jawapan kepada pelajar dan yang
paling membimbangkan apabila kesuntukan masa markah pelajar dimasukkan
dalam SPPBS (Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah) secara
rawak atau ‘pakai belasah’.
Pelaksanaan PBS yang tidak mengikut prosedur adalah rahsia terbuka di bilik guru. Jadi di manakah ‘validity’ PBS ini?
Ketiadaan ‘validity’ dalam PBS adalah antara punca mengapa PBS tidak
diiktiraf oleh golongan pendidik dan ibubapa. Penolakan golongan
pendidik terhadap sistem PBS juga terbukti apabila Peperiksaan Akhir
Tahun untuk pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua masih dijalankan di
sekolah bagi mencari pelajar terbaik untuk Hari Anugerah Cemerlang.
Sama ada Muhyiddin sedar atau tidak, guru-guru tanpa segan silu telah
menyuarakan penolakan terhadap sistem PBS ciptaan Menteri Pelajaran itu
bersama kroni-kroninya.
Sekiranya guru-guru mengiktiraf PBS, sudah tentu pelajar terbaik akan
dipilih berdasarkan keputusan PBS tanpa perlu diadakan lagi Peperiksaan
Akhir Tahun.
Terus terang saya katakan saya memang berasa bersalah dan berdosa kerana
tidak dapat melaksanakan tugasan melibatkan PBS dengan baik dan kerana
itulah saya tampil menulis surat ini.
Apa yang akan saya jawab pada Allah S.W.T nanti kerana tidak
melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan telus? Saya juga tidak mahu
mengheret Muhyiddin bersama-sama saya di neraka kerana ketidaktelusan
dalam PBS.
Jujurnya, kami, guru-guru terpaksa melakukan penipuan secara halus ini
sejak PBS diperkenalkan kerana kami memang tidak menang tangan walaupun
telah mengorbankan masa tidur dari tujuh jam menjadi tiga jam.
Apabila ramai warga pendidik meluahkan kekesalan terhadap bebanan tugas
melampau di facebook, twitter, blog dan lain-lain lagi, kami dikatakan
mengkhianati kerajaan.
Kami diambil tindakan tegas sedangkan kami hanya meluahkan perasaan
kepada sahabat handai dan keluarga di laman sosial. Salahkah kami jika
meluahkan perasaan terhadap bebanan kerja di sekolah yang membuatkan
kami ditimpa pelbagai penyakit seperti darah tinggi, ‘depression’ dan
‘migrain’?
Itu juga antara punca kebencian di hati warga pendidik sehingga
mendorong kami meluahkan kekesalan di kertas undi dengan memangkah parti
pembangkang.
Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi haruslah
mengambil iktibar kekalahan dua orang timbalan menterinya iaitu Dr Puad
Zakarshi dan Datuk Saifuddin Abdullah.
Benarkah kejatuhan kedua-dua timbalan menteri ini adalah satu kebetulan?
Atau mungkinkah kejatuhan dua nama besar ini disebabkan ketidakpuasan
di hati rakyat, khususnya ibubapa dan guru-guru terhadap sistem
pendidikan yang dilihat semakin bercelaru? Fikir-fikirkanlah,
renung-renungkanlah dan tenung-tenungkanlah.
Saya secara peribadi berasa amat gembira jika benar apa yang dikatakan
oleh Najib yang beliau mahu mendengar masalah rakyat dan memperbaiki
kelemahan pentadbirannya. Sememangnya inilah yang patut dilakukan dari
dulu lagi dan bukannya mengambil tindakan apabila kakitangan kerajaan
meluahkan rasa tidak puas hati.
Guru-guru yang ditangkap mengeluarkan kenyataan yang bersifat memprotes
akan ditukar tempat kerja atau dibuang terus. Ini adalah satu tindakan
bodoh kerana sudah tentu kebencian yang sedia ada akan bertambah dengan
momentum protes yang lebih kencang.lawak politik najib haji
Kepada yang dibuang kerja bukan sahaja mendapat simpati, bahkan
mempunyai lesen lebih besar untuk menghentam kerajaan kerana sudah tidak
terikat dengan mana-mana pihak.
Jika kita kaji betul-betul, PRU kali ini menyaksikan polarisasi kaum
yang hebat. Majoriti kaum Cina dilihat lebih senang dengan parti
pembangkang lebih-lebih lagi DAP. Jika golongan guru yang majoritinya
orang Melayu juga tidak menyokong kerajaan ke manakah halatuju dan masa
depan Barisan Nasional pada PRU akan datang?
Jadi hargailah kaum guru dan jangan terlalu menindas kami kerana pada
hakikatnya kebanyakan kami terdiri daripada orang yang sentiasa berdiri
teguh di belakang pemimpin dan sentiasa mendukung agenda dan aspirasi
kerajaan dalam memajukan bangsa dan negara.
Besarlah harapan kami, guru-guru di seluruh Malaysia agar Perdana
Menteri dapat mengkaji semula sistem PBS yang pada pendapat kami,
golongan pendidik, para ibu bapa dan pelajar tidak ada ‘validity’.
Dalam kekalutan berhadapan dengan PBS, timbul ura-ura yang mengatakan
pelajar tingkatan 3 pada tahun hadapan akan menjalani pentaksiran
berpusat yang menyamai PMR untuk menentukan sama ada mereka layak untuk
memasuki aliran Sains, Perakaunan atau Sastera bagi kemasukan ke
Tingkatan Empat. Pelbagai persoalan bermain di benak kami. Antaranya:
1. Mengapa perlu ada pentaksiran berpusat lagi setelah pemansuhan PMR (Penilaian Menengah Rendah)?
2. Mengapa kemasukan pelajar ke tingkatan 4 untuk aliran Sains, Perakaunan dan Sastera tidak dibuat berdasarkan keputusan PBS?
3. Adakah ini bermakna Kementerian Pelajaran juga tidak mengiktiraf PBS?
Nampaknya segala keringat yang dicurahkan oleh guru-guru siang dan
malam sia-sia sahaja. Bukan sahaja golongan guru tidak mengiktiraf PBS
malah Kementerian Pelajaran juga secara tidak langsung telah mengakui
kesilapannya memperkenalkan PBS. Kini mereka sedang terkulat-kulat
mencari idea untuk menutupi kelemahan PBS. Akhirnya ‘back to square one’
pentaksiran berpusat yang menyamai PMR terpaksa dijalankan.
Jelaslah, PBS adalah kutu yang disangkakan berlian. Ia dibawa masuk
pihak-pihak tertentu setelah lawatan singkat ke luar negara. Parasit ini
dibawa masuk atas slogan ingin menjana transformasi pendidikan negara.
Demi mendapatkan nama, apa-apa sahaja yang menampakkan berlakunya
transformasi diserap tanpa diselidiki dan dikaji terlebih dahulu dan
yang menjadi mangsa adalah para pelajar dan guru. Ingatlah, sistem
pendidikan bukanlah bahan ujikaji.
Ianya harus diambil dengan serius dan tidak boleh dibuat main-main. PBS
sangat tidak sesuai untuk diaplikasikan di Malaysia apatahlagi di
peringkat sekolah menengah. Malah negara-negara maju juga telah banyak
memansuhkan PBS.
Najib juga ada mengatakan untuk memberi perhatian segera dalam
mengurangkan beban tugas guru melalui Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (2013-2025).
Bagi guru-guru, setiap hari yang berlalu umpama memikul sederetan gunung
di atas kepala dan tahun 2025 adalah penantian yang terlalu lama.
Sementara mencari jalan penyelesaian terbaik, saya cadangkan Kementerian
Pelajaran mengeluarkan surat pekeliling agar bilangan aktiviti
dikurangkan dan diselaraskan di semua sekolah.
1. Hadkan penglibatan ko-kurikulum di semua sekolah kepada salah satu
sahaja sama ada unit beruniform, sukan atau kelab. Jika ingin juga
melaksanakan program-program ko-kurikulum dan menjalankan dasar ‘1
Murid, 1 Sukan’ mungkin pihak kementerian boleh mempertimbangkan untuk
membawa masuk pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan dan berikan mereka
sedikit elaun untuk memantau dan merancang aktiviti ko-kurikulum pada
setiap hari di sebelah petang.
2. Begitu juga dengan majlis rasmi di sekolah, Kementerian Pelajaran
boleh menetapkan beberapa acara rasmi sahaja untuk dijalankan setiap
tahun dan diselaraskan untuk semua sekolah.
3. Selain itu keluarkan arahan rasmi kepada Jabatan Pelajaran Negeri
(JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) agar tidak lagi membebankan
guru-guru dengan pemantauan berbagai-bagai fail kerana pada pendapat
saya penilaian terhadap prestasi seseorang guru itu perlu dilihat dari
aspek pengajaran dan bukannya sistem dokumentasi yang nampak begitu gah
dari luar, tetapi jarang dilaksanakan dengan baik.
4. Menteri Pelajaran juga harus sedar arahan untuk mengisi maklumat
dalam pelbagai pangkalan data juga semakin menjadi-jadi pada hari ini
sehingga kami terpaksa membeli ‘broadband’ semata-mata untuk kerja
mengisi data.
Setiap unit di jabatan dan kementerian seperti berlumba-lumba untuk
menampakkan kemantapan unit masing-masing dengan memperkenalkan pelbagai
pangkalan data diisi. Ada kalanya kami terpaksa mengisi data yang sama
berulangkali untuk JPN dan PPD.
Apabila terlalu banyak maklumat yang perlu dimasukkan dalam pelbagai
pangkalan data, maka berlakulah penipuan secara halus yang melibatkan
angka-angka dan maklumat-maklumat rekaan. Bukan itu sahaja, adakalanya
kami terpaksa meninggalkan kelas kerana mengejar tarikh tutup pengisian
data. Ini berlaku apabila ada masalah ‘network’ di rumah dan data
terpaksa dimasukkan di sekolah keesokan hari sebelum tarikh tutup.
Persoalannya, kami menerima arahan dari kementerian pendidikan untuk
melindungi waktu P &P (pengajaran dan pembelajaran), jadi mengapa
pada masa yang sama kami dibebani dengan kerja perkeranian yang tidak
henti-henti sehingga adakalanya terpaksa meninggalkan kelas?
Jika data sangat diperlukan oleh JPN atau PPD, turunkanlah beberapa
orang JPN atau PPD selama seminggu khusus untuk pengisian data.
Guru-guru boleh membantu untuk mengagihkan borang-borang kepada pelajar
dan selebihnya diuruskan oleh JPN dan PPD kerana sememangnya kami tahu,
pegawai PPD dan JPN sukakan maklumat online kerana ianya memudahkan
kerja mereka.
Jadi pegawai JPN dan PPD perlu bersama-sama membantu kami, bukan hanya
tahu mencari kelemahan guru-guru dan memalukan kami di bilik mesyuarat
apabila pencerapan dilakukan atau apabila keputusan peperiksaan tidak
baik. Selamilah juga apa yang kami terpaksa lalui kerana anda juga
adalah bekas-bekas guru.
Kami dipaksa melakukan pelbagai kerja dalam satu hari. Jadi bilakah
masanya untuk kami membuat persediaan untuk mengajar dan menghasilkan
keputusan yang cemerlang untuk sekolah?
Sesungguhnya, Najib tidak boleh mengambil masa terlalu lama dalam
memikirkan penyelesaian terhadap bebanan tugas guru. Sekiranya, kerajaan
tidak mampu menggaji kerani, pembantu guru atau kakitangan luar, sudah
sampai masanya pihak kementerian mengurangkan bebanan guru dengan
mengehadkan aktiviti di sekolah, menghentikan prosedur penilaian yang
berasaskan sistem dokumentasi dan mengurangkan arahan untuk mengisi
maklumat dalam pelbagai jenis pangkalan data yang saya kira tidak
praktikal kerana tanggungjawab seorang guru adalah mengajar dan bukannya
meninggalkan kelas kerana kerja perkeranian.
5. Saya mewakili guru-guru dan saya juga sebagai ibubapa menasihatkan
Kementerian Pelajaran untuk menghentikan PBS serta merta demi masa depan
anak-anak kami. Jangan bazirkan waktu mereka di sekolah dengan PBS
lagi.
Sudah sampai masanya PBS dihentikan dari terus manjadi bahan ujikaji
untuk pelajar-pelajar lain. Jadilah kesilapan ini sebagai satu
pengajaran agar pihak kementerian lebih berhati-hati dalam melaksanakan
suatu sistem baru.
6. Jika pihak Kementerian Pelajaran malu untuk mengakui kesilapan mereka
dan takut ego mereka tercalar, jalankanlah PBS tetapi bukan dengan cara
penyediaan beratus ‘evidence’ yang perlu ditanda, difailkan dan
kemudian diisi pula dalam SPPBS kerana ianya membebankan guru-guru dan
langsung tidak memberi apa-apa manfaat kepada pelajar.
Demi kepentingan sistem pendidikan dan pelajar, saya cadangkan PMR
dikembalikan semula dan PBS dikekalkan namanya tetapi diganti dengan
kerja projek. Mungkin satu tahun pelajar boleh melaksanakan satu kerja
projek yang menyumbang lebih kurang 30% dari markah keseluruhan PMR. Ini
bermakna 10% markah diperuntukkan bagi satu kerja projek untuk satu
tahun, bagi setiap matapelajaran.
Sekiranya kerajaan dapat melaksanakan cadangan saya ini, saya yakin
kualiti pengajaran guru-guru akan lebih baik dan sistem pendidikan akan
gah semula. Apatah lagi semua ini tidak melibatkan apa-apa kos
peruntukan. Jika ini dapat dilaksanakan, saya pasti martabat guru di
Malaysia juga akan meningkat secara mendadak seperti guru-guru pada
zaman ayah dan ibu kita suatu ketika dahulu yang begitu dihormati dan
disegani oleh masyarakat.
Kepada Muhyiddin Yassin, nasihat saya, janganlah asyik ke hulu ke hilir
menjaja cerita yang kementerian Tan Sri sedang bermesyuarat untuk
menyelesaikan masalah bebanan guru. Kami sudah mula bosan dan putus asa
dengan jawapan Tan Sri.
Sampai bilakah Tan Sri mahu bermesyuarat? Kalau Tan Sri dan
pemimpin-pemimpin UMNO bertandang, kamilah orang pertama yang akan
dikerah untuk memenuhi dewan. Berjam-jam lamanya terpaksa melangut dan
menguap di situ. Sebetulnya, kami sudah jemu dan loya dengan ucapan Tan
Sri. Kami sudah mula mual dengan janji-janji manis Tan Sri. Adakalanya
terasa nak muntah dengan lambakan kerja yang Tan Sri dan anak-anak buah
Tan Sri campakkan di atas muka kami.
Pada tahun 2010, Tan Sri tubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji
bebanan tugas guru. Belum pun ada apa-apa penyelesaian terhadap isu yang
dikekemukakan sebelum ini, timbul lagi kerja-kerja baru. Pada tahun
2012 Tan Sri perkenalkan pula PBS dan bermacam-macam lagi pangkalan data
untuk diisi.
Bukan itu sahaja, pada tahun sama Tan Sri juga ada mencadangkan agar
guru-guru bekerja mengikut waktu pejabat. Inikah penyelesaian yang Tan
Sri mesyuaratkan selama ini? Perangai Tan Sri ini bertepatan sangatlah
dengan kata pepatah “tahi yang dulu belum dicuci, kini membuat tahi yang
baru”. Jadi, bagaimanakah kami, warga pendidik mahu percaya kepada
kata-kata dan janji-janji Tan Sri lagi?
Saya dan warga guru sandarkan harapan kepada Perdana Menteri agar dapat
melakukan sesuatu dengan segera untuk mengurangkan bebanan tugas guru
dan carilah pemimpin yang lebih berkredibiliti dan mampu berfikir pada
masa hadapan untuk menerajui sistem pendidikan dan bukannya pakai
tangkap muat. Muhyiddin adalah salah satu contoh pemimpin yang hanya
tahu mengangguk dan menggeleng sahaja. Sekiranya Muhyiddin lebih cerdik
dari orang bawahannya, sudah pasti sistem-sistem mengarut dalam
pendidikan kita tidak ada pada hari ini.- Oleh Guru Kecewa Harakhdaily
BM