Tuesday, February 2, 2010

BILA GAMAKNYA SURUHANJAYA GURU DI ASINGKAN DARI CUEPAC-ASYIK-ASYIK GAJI POLIS YANG NAIK

Gaji baru polis diumum hari ini

SEPANG 2 Feb. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengumumkan esok kadar baru gaji dan elaun anggota polis berpangkat sarjan ke bawah.

Beliau berkata, usaha itu bagi meningkatkan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui peningkatan taraf hidup dan juga kemudahan yang boleh dinikmati oleh anggota polis terbabit.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut perkara tersebut tetapi memberitahu ia sebahagian daripada cadangan yang dirumuskan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan PDRM.

"Saya akan beri kenyataan secara terperinci mengenai kadar baru gaji dan elaun tersebut esok.

"Ia merupakan keutamaan yang saya sudah janjikan sejak mengetuai Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan e-Pasport Malaysia versi ICAO di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan melalui skim gaji dan elaun baru tersebut, pegawai polis berpangkat inspektor dijangka menerima gaji bulanan lebih RM3,000 manakala sarjan pula bakal menikmati imbuhan lebih RM2,000 sebulan.

Kenaikan terbesar melibatkan inspektor baru yang akan menerima gaji permulaan RM2,060 berbanding RM1,492 sebelum ini, di samping kenaikan beberapa imbuhan lain seperti elaun rumah dan elaun sara hidup.

Pemegang diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga dibenarkan menyertai PDRM dengan pangkat sarjan dan akan menikmati gaji permulaan RM1,500. Gaji pangkat sarjan sebelum ini ialah RM890.

Peningkatan itu berkuat kuasa pada 1 Januari 2009. Dengan pengumuman kenaikan itu, kesemua anggota dan pegawai terlibat bakal mendapat 'durian runtuh' melalui bayaran tunggakan bermula tarikh tersebut.

No comments:

Post a Comment