Wednesday, February 3, 2010

Kekurangan Guru Terlatih Subjek Sains Sosial Di KL


KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Kebanjiran Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di beberapa buah sekolah menengah di Kuala Lumpur adalah disebabkan kekurangan tenaga pengajar bagi subjek sains sosial dan bahasa Melayu.

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sulaiman Wak berkata, seramai 913 GSTT berkhidmat di beberapa buah sekolah menengah di sini khusus bagi mata pelajaran Sejarah, Geografi dan Bahasa Melayu.

"Ramai beranggapan guru-guru yang terbaik hanya bertumpu di kawasan bandar sedangkan di sini kita masih kekurangan guru terlatih bagi subjek-subjek sains sosial selain beberapa subjek lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kualiti Pendidikan di Sekolah Menengah Sentul Utama di sini Selasa.

Selain itu, katanya subjek lain seperti Bahasa Mandarin dan Tamil di beberapa buah sekolah jenis kebangsaan turut mengalami masalah yang sama.

Beliau berpendapat cabaran lebih besar yang perlu dihadapi menyebabkan guru-guru terlatih kurang minat untuk berkhidmat di bandar kerana desakan beberapa faktor.

"Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur kebanyakan ibu bapa berkerjaya dan sentiasa sibuk. Justeru tanggungjawab guru yang perlu digalas adalah lebih banyak berbanding guru-guru di kawasan luar bandar.

"Faktor ini mungkin menjadi penyebab guru-guru terlatih kurang berminat untuk berkhidmat di kawasan bandar," kata Sulaiman.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan empat buah sekolah di Wilayah Persekutuan agar tidak mudah selesa dengan pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Minggu lepas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan empat buah SBT di Kuala Lumpur itu ialah SMK Aminuddin Baki, Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara, SK Taman Tun Dr Ismail dan SK Bukit Damansara.

Ini kerana menurutnya pengiktirafan itu akan ditarik balik jika sekolah terbabit tidak mengekalkan pencapaian akademik dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM).

"Kami turut menggalakkan sekolah-sekolah yang tidak terpilih agar berusaha setanding dengan SBT kerana mereka juga berpeluang untuk diiktiraf sedemikian terutama jika berjaya melonjakkan SKPM," katanya.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment